KUALA LUMPUR: Kerajaan negeri mempunyai hak mutlak ke atas pengurusan hutan, sementara Kerajaan Persekutuan hanyalah bertindak dalam memberikan nasihat teknikal dalam isu yang terbabit.
Menjelaskan perkara itu, menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, peranan tersebut adalah berdasarkan Perkara 74(2) Perlembagaan Persekutuan.
Dalam hal ini lagi, jelas Takiyuddin, kerajaan negeri akan dibantu beberapa platform perundingan dalam melibatkan isu-isu perhutanan.
“Pada masa ini, terdapat beberapa platform perundingan sedia ada di antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri antaranya seperti Majlis Tanah Negara (MTN), Majlis Perancang Fizikal Negara (MPFN), Majlis Negara Kerajaan Tempatan (MNKT) dan Majlis Tindakan Perubahan Iklim Malaysia (MyCAC).
“Sebagai contoh, Majlis Tanah Negara (MTN) diwujudkan bagi membincangkan berkenaan dasar dan perundangan untuk mengawal penggunaan tanah bagi maksud perhutanan, perlombongan, dan pertanian. Antaranya dasar yang ditetapkan oleh MTN melibatkan perhutanan adalah penetapan Catuan Tebangan Tahunan (CTT), moratorium pembangunan ladang hutan dalam Hutan Simpanan Kekal, mengawal dan mengelakkan pembangunan utiliti dan bukan utiliti (perlombongan dan pengkuarian) di dalam Hutan Simpanan Kekal dan Rizab Hidupan Liar di Semenanjung dan dasar untuk meningkatkan pewartaan Hutan Tadahan Air di peringkat negeri.
“Saya percaya sekiranya Kerajaan Negeri mematuhi semua mekanisme kawalan yang ditetapkan di bawah platform yang disebutkan tadi dengan penuh komitmen dan tanggungjawab, maka insiden seumpamanya dapat dielakkan,” katanya pada sesi penggulungan bagi Rang Undang-Undang (RUU) Perhutanan Negara (Pindaan) 2022 di Dewan Rakyat, hari ini.
Terdahulu, Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Azeez Abdul Rahim menggesa Akta Perhutanan Negara 1984 dipinda supaya kerajaan boleh campur tangan dalam penyahwartaan hutan simpan mengikut negeri.
Jelasnya, pindaan itu perlu supaya kerajaan boleh memainkan peranan sebagai semak dan imbang terhadap proses penyahwartaan hutan yang dibuat kerajaan negeri, sekali gus menghalang mereka menyalahi semula penyahwartaan hutan.
“Kami tidak mahu menteri besar, exco kerajaan negeri, Jabatan Perhutanan, pejabat daerah, dan Jabatan Tanah dan Galian meluluskan hutan simpan (untuk dibersihkan).
“Kuasa yang diberikan dalam kedua-dua Seksyen 11 dan 12 tidak sepatutnya diberikan sepenuhnya kepada kerajaan negeri. Mereka harus membenarkan kerajaan persekutuan (campur tangan dan) bersama-sama memutuskan apa-apa perkara yang berkaitan dengan penyahwartaan hutan simpan,” jelas Azeez sebelum ini. –UTUSAN ONLINE