KUALA LUMPUR : Cadangan mewujudkan subjek politik di peringkat sekolah menengah belum lagi dibincang dengan pihak Kementerian Pendidikan.
Namun begitu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) ada membincangkan mengenai perkara itu sebagai usaha meningkatkan kesedaran supaya pengundi muda keluar mengundi.
Namun, jelasnya, ia juga masih belum dilaksanakan.
“Memang saya percaya bahawa berhubung demokrasi dan pilihan raya, tanggungjawab belia-belia penting, tetapi cadangan untuk melaksanakan menerusi silibus belum difikir kementerian, tetapi SPR sudah berbincang dengan saya berhubung perkara tersebut. Tetapi belum dilaksanakan.
“Namun, bahawa pendekatan kita adalah sampai ke sekolah, bahkan, kementerian saya dah mengatur ‘roadshow’ di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) untuk beri maklumat kepada mereka,” katanya bagi menjawab soalan yang dikemukakan ahli parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim dalam sidang Dewan Rakyat, hari ini.
Terdahulu, Abdul Azeez meminta kerajaan menjelaskan adakah kementerian bercadang untuk menjadikan pendidikan politik sebagai satu silibus di peringkat sekolah menengah sebagai subjek politik dalam usaha memberi pemahaman mengenai amalan demokrasi dalam kalangan pengundi muda supaya akhirnya mereka sedar pentingnya keluar mengundi. –UTUSAN ONLINE










