KEMAMAN: Kebanyakan pasar raya dan kedai runcit di daerah ini kehabisan bekalan minyak masak peket sehingga menimbulkan kesukaran kepada pengguna mendapatkan bekalan minyak masak tersebut di pasaran.
Peniaga mendakwa pihak pemborong minyak masak dijangka menghantar bekalan tersebut selewat-ewat pada petang ini atau esok.
Salah seorang pekerja kedai runcit, Abdul Azam Aziz, 45, berkata, tiga kotak minyak masak peket yang dibekalkan di kedainya beberapa hari lalu habis dijual dalam tempoh sehari sahaja.
Menurutnya, permintaan minyak masak peket menjadi buruan pengguna menjelang Hari Raya Aidiladha, Ahad ini berikutan bekalan terhad.
Katanya, keadaan tersebut menyebabkan kebanyakan kedai runcit tidak mempunyai bekalan minyak masak peket mencukupi.
“Difahamkan, pihak pemborong akan menghantar bekalan minyak masak peket ke premis perniagaan di sini pada hari ini atau esok.
“Pada masa ini, peniaga mengharapkan bekalan minyak masak peket dapat dibekalkan segera menjelang Hari Raya Aidiladha,” katanya di sini, hari ini.
Nurain Syahirah Rozali, 22, berkata, sebelum ini, kedainya hampir dua bulan tidak mempunyai bekalan minyak masak sehingga menimbulkan keresahan dalam kalangan pelanggannya.
Bagaimanapun, katanya, dia lega apabila mendapat minyak masak peket pada minggu ini, walaupun dalam jumlah terhad.
“Keadaan tersebut menyebabkan kami terpaksa hadkan pembelian minyak masak tiga peket sehari untuk satu keluarga,” ujarnya.
Salah seorang peniaga pisang goreng, Norhaliza Zamani, 35, berkata, dia memilih untuk membeli minyak peket untuk jualannya berikutan harga minyak peket lebih murah berbanding minyak botol.
“Kadangkala, kalau tiada minyak peket, terpaksa juga saya guna minyak botol, tetapi memang agak rugi kerana jual goreng pisang memerlukan jumlah minyak yang banyak,” katanya. –UTUSAN ONLINE










