Jaga kerahsiaan data peribadi

Jaga kerahsiaan data peribadi

data peribadi
MAZMALEK Mohamad menyampaikan sesi taklimat bersama pengamal media berkenaan keselamatan data peribadi di Putrajaya, baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Keselamatan data peribadi yang dikongsi semasa sebarang transaksi komersial adalah di bawah tanggungjawab pihak Pengguna Data seperti yang termaktub dalam Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 [Akta 709].

Sebagai pemilik data, orang ramai berhak untuk menyatakan keengganan berkongsi data terbabit untuk tujuan pemasaran dan perkongsian dengan
pihak ketiga tanpa pengetahuan.

Kad pengenalan, nama penuh, alamat e-mel, gambar, maklumat kesihatan, nombor pasport dan nombor telefon merupakan datadata peribadi yang berisiko disalah
guna jika tidak dijaga sehabis baik.

Tahap kesedaran orang ramai terhadap perlindungan data peribadi masih berada pada tahap yang membimbangkan.

Kes-kes penyalahgunaan data peribadi bagi tujuan scam, jenayah siber, kecurian dan pemalsuan identiti kian berleluasa.

Sehubungan itu, Jabatan Perlindungan Data Peribadi (JPDP) sentiasa berusaha mendidik dan menyedarkan masyarakat mengenai hak mereka sebagai pemilik data terbabit.

Namun, ia tidaklah semudah itu tanpa pendekatan kendiri dengan sentiasa berwaspada sebelum melakukan sesuatu tindakan terutama semasa menggunakan media sosial.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pesuruhjaya Perlindungan Data Peribadi Malaysia, Mazmalek Mohamad berkata, sering kali orang awam tidak memahami skop tugasan
JPDP yang bertindak di bawah Akta 709.

“Kita kerap juga menerima aduan-aduan yang melibatkan penyalahgunaan data peribadi bagi tujuan buli siber, scammer, ejekan tubuh dan suntingan gambar. Ini semua di luar bidang kuasa JPDP.

Aduan-aduan sedemikian seharusnya disalurkan kepada pihak yang berkenaan seperti Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Kami bertindak di bawah bidang kuasa Akta 709 untuk mengawal selia pemprosesan data peribadi dalam transaksi komersial sahaja.

Jadi, ruang lingkup hanyalah terpakai kepada sektor-sektor yang memproses data-data peribadi dalam transaksi komersial seperti bank, telco, pendidikan swasta, kesihatan swasta, insurans, utiliti, jualan langsung, pajak gadai dan pemberi pinjaman wang berlesen.

“Akta 709 adalah tidak terpakai kepada transaksi bukan komersial, data peribadi yang diproses di luar Malaysia, hal ehwal peribadi, keluarga dan rumah tangga serta Agensi Pelaporan Kredit,” katanya.

Beliau memaklumkan bahawa Akta 709 juga tidak terpakai kepada Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri kerana teras utama Akta 709 adalah transaksi komersial yang lazimnya melibatkan entiti perniagaan swasta.

“Data-data kerajaan seperti Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Jabatan Imigresen secara fitrahnya bukan untuk tujuan komersial.

“Di Singapura, undang-undang data peribadi sedia ada tidak terpakai ke atas kerajaan mereka. Namun, ada juga negara yang memasukkan kerajaan dalam akta mereka,” katanya
ketika ditemui baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Mazmalek mengakui dengan tenaga kerja yang amat terhad di JPDP, pihaknya sentiasa bekerja keras untuk menggembleng semua kekuatan sumber yang ada untuk menguatkuasakan Akta 709, di samping mendidik orang awam dalam hal ehwal perlindungan data terbabit di seluruh negara.

JPDP bekerjasama dengan pelbagai agensi Kerajaan dalam menjalankan aktiviti penguatkuasaan dan siasatan berterusan ke atas kes-kes kebocoran dan penjualan data peribadi yang berada dalam bidang kuasa Akta 709, antaranya Polis Diraja Malaysia (PDRM), Cybersecurity Malaysia (CSM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM).

“Selain mengendalikan aduan, menguat kuasa dan memastikan pematuhan ke atas akta ini, kami juga menjalankan kempen kesedaran perlindungan data peribadi kepada orang awam melalui pelbagai platform antaranya media cetak, media sosial dan media elektronik, edaran bahan-bahan bercetak dan roadshow,” katanya.

Jelas beliau lagi, bagi memastikan maklumat sampai kepada rakyat yang tinggal di luar bandar, JPDP bekerjasama dengan SKMM untuk melatih pengurus-pengurus Pusat Ekonomi Digital Keluarga Malaysia (PEDi).

“Kami telah melatih lebih daripada 300 pengurus pusat internet di bawah SKMM melalui silibus mudah supaya mereka boleh mengajar komuniti untuk menguruskan data peribadi mereka.
Kami juga mengadakan persidangan dua kali sebulan dan 50 kali lawatan audit setiap tahun di seluruh pelusuk negara,” katanya.

Selain itu, katanya, JPDP berdepan dengan pelbagai cabaran menguatkuasakan Akta 709.

Antaranya, tahap kefahaman dan kesedaran yang berbeza-beza dalam kalangan orang awam, variasi saiz perniagaan serta perkembangan pesat teknologi dan digitalisasi.

“Namun, dari aspek penguatkuasaan, kami sudah melakukan pelbagai aktiviti yang kami percaya sekurang-kurangnya dapat meminimumkan insideninsiden kebocoran data peribadi seperti pemeriksaan sistem perlindungan data peribadi, edaran notis pendaftaran atau pembaharuan pengguna data, siasatan aduan dan sesi libat urus bersama 23 badan kawal selia, persatuan dan pengguna data sendiri,” katanya.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan orang ramai supaya tidak sewenang-wenang berkongsi maklumat peribadi, menurunkan tandatangan pada dokumen-dokumen yang diragui dan mengurangkan penyertaan dalam kumpulan aplikasi Whatsapp.

Katanya, keberadaan pengguna dalam terlalu banyak kumpulan WhatsApp, boleh mendedahkan mereka kepada risiko kecurian data peribadi kerana ia memberikan akses nombor telefon pemilik kepada individu yang tidak dikenali.

“Secara prinsipnya, data peribadi tidak boleh dizahirkan kepada mana-mana pihak tanpa persetujuan pemilik data dan ia hendaklah dimaklumkan terlebih dahulu tujuan data peribadi itu digunakan.

“Nombor telefon ialah data peribadi milik individu yang perlu dilindungi kerana apabila telah didedahkan, tidak mustahil kita akan menerima pelbagai iklan menjual barang, perkhidmatan malah lebih teruk jika dihubungi oleh ‘scammer’.  Jadi, kita perlu bijak membuat pertimbangan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya