Maik korban 72 lembu untuk Orang Asli - Utusan Malaysia

Maik korban 72 lembu untuk Orang Asli

TENGKU Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz (kiri) bersama isterinya, Puan Sri Tunku Noor Hayati Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj menyampaikan daging korban kepada penduduk Orang Asli di Rancangan Pengumpulan Semula (RPS) Kuala Betis, Gua Musang, Kelantan, hari ini.-UTUSAN/AIMUNI TUAN LAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG: Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) menyembelih 72 ekor lembu yang dianggarkan berjumlah RM350,000 untuk agihkan kepada masyarakat Orang Asli di 19 buah pos penempatan di negeri ini sempena sambutan Hari Raya Aidiladha tahun ini.

Yang Dipertua Maik, Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz berkata, agihan itu melibatkan seramai 4,830 penerima yang merupakan ketua isi rumah (KIR) Orang Asli.

Menurutnya, program tersebut bermula pada Ahad dan berakhir hari ini di Rancangan Pengumpulan Semula (RPS) Kuala Betis, di sini.

“Pada hari ini, sebanyak 13 ekor lembu dikorbankan untuk diagihkan kepada Orang Asli di RPS Kuala Betis. 

“Selain itu, Maik juga memberi sumbangan bakul makanan dan wang tunai kepada mereka bagi meringankan beban sempena  Hari Raya Aidiladha,” katanya kepada pemberita selepas majlis pengagihan daging korban di perkampungan Orang Asli RPS Kuala Betis di sini hari ini.

Sementara itu, seorang penduduk Orang Asli Kampung Bawek, RPS Kuala Betis, Nor Aleha Adai, 32, bersyukur dengan sumbangan yang diterima selepas dua tahun tidak dapat merasai ibadat korban secara besar-besaran.

Katanya, Orang Asli semakin berilmu dalam menjalankan ibadah korban apabila ada dalam kalangan mereka sudah pandai menyembelih dan melapah daging lembu.

“Kami dapat menerima banyak manfaat selain dapat makan daging korban, kita juga dapat mengeratkan hubungan antara agensi luar yang datang ke kampung ini.

“Kami juga teruja apabila daging korban disampaikan sendiri oleh Yang Dipertua Maik yang juga Tengku Temenggong Kelantan bersama isteri baginda,” ujarnya. –UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN