KEPALA BATAS: Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) akan mengenal pasti secara lebih dekat loji-loji pengeluaran benih padi yang bermasalah sama ada yang dikendalikan oleh agensi kerajaan atau swasta.
Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Dr. Nik Muhammad Zawawi Salleh berkata, ia bagi memastikan masalah pengeluaran benih padi angin atau padi tidak berkualiti yang membelenggu para petani sebelum ini tidak lagi berlarutan.
“Selain itu, ada juga loji-loji (pengeluaran benih padi) yang saya difahamkan tak ada pun kawasan penanaman padi khusus untuk benih atau kita panggil ladang benih tapi tiba-tiba mengeluarkan (benih) padi.
“Perkara ini kita akan cuba selesaikan. Kita akan ‘ajak’ pemilik loji benih padi ini supaya menjadi lebih bertanggungjawab dalam usaha untuk mengeluarkan benih padi yang terbaik di negara ini,” katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas mengadakan lawatan kerja ke Pusat Pengeluaran Benih Padi di Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Lahar Bubu, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Nik Muhammad Zawawi berkata, beliau yakin dengan kemampuan pakar-pakar atau penyelidik tempatan yang sedang berusaha membangunkan varieti benih padi yang lebih baik ketika ini.
“Insya-Allah, dengan pemantauan khusus daripada pihak kerajaan, kita akan mendapatkan benih padi daripada varieti terbaik dengan tahap kesuburan yang lebih tinggi dan sebagainya.
“Ini bermakna, benih padi itu nanti lebih tahan lasak iaitu mempunyai ketahanan yang tinggi terhadap kemarau dan banjir. Unsur-unsur ini sangat mustahak dan MAFI berharap usaha ini akan membuahkan hasil,” ujarnya.
Sementara itu, beliau memberitahu, seramai 640 peladang terlibat dengan program Insentif Benih Padi Sah anjuran MAFI dengan kerjasama LPP yang berlangsung selama tiga tahun bermula tahun lepas.
Katanya, program itu meliputi kawasan ladang benih keseluruhan seluas 1,550 hektar yang melibatkan PPK di beberapa negeri termasuk Selangor, Perak, Kedah dan Pulau Pinang.
“PPK Lahar Bubu merupakan salah satu daripada pengeluar benih padi sah dengan kuota pembekalan benih padi sebanyak 5,000 metrik tan setahun atau kira-kira 250,000 beg,” katanya. –UTUSAN ONLINE










