PUTRAJAYA: Liputan jalur lebar mudah alih 4G di Wilayah Persekutuan Putrajaya telah pun mencapai 100 peratus manakala perkhidmatan rangkaian 5G sudah tersedia sejak Disember tahun lalu.
Perkara itu dimaklumkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) melalui pertemuan Pengarah Negeri Wilayah Persekutuan, Alyas Roy Amir bersama Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor di Parlimen, hari ini.
Ia merupakan kerjasama strategik SKMM dengan ahli-ahli Parlimen di Wilayah Persekutuan bagi mendapatkan pandangan dan input berkaitan isu-isu pembangunan telekomunikasi bagi mencapai sasaran 100 peratus liputan di seluruh kawasan berpenduduk merangkumi Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.
Menurut Alyas Roy, purata kelajuan jalur lebar mudah alih di pusat pentadbiran kerajaan itu setakat suku pertama tahun ini telah mencapai 86.88 Mbps.
“Pelbagai inisiatif lain juga dilaksanakan SKMM yang mana kesemua inisiatif ini dijangka menyumbang kepada usaha penambahbaikan liputan dan tahap kelajuan jalur lebar di Putrajaya.
“Pihak SKMM komited memastikan kualiti pengalaman perkhidmatan komunikasi sentiasa berada pada paras yang terbaik sepanjang masa,” katanya dalam kenyataan.
Menurut beliau, sebanyak 29 struktur telekomunikasi baharu yang dikenali sebagai Distributed Radio Access Network (DRAN) dibangunkan bagi menyokong inisiatif ini.
Selain itu, katanya, sebanyak 31 struktur telekomunikasi sedia ada juga dinaik taraf penyedia perkhidmatan untuk memastikan kualiti dan kapasiti perkhidmatan jalur lebar tanpa wayar di Putrajaya dapat dipertingkatkan.
Semua usaha ini digerakkan secara bersama SKMM dan Perbadanan Putrajaya (PPj) dengan kerjasama syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi.
Menyentuh mengenai pelaksanaan 5G oleh Digital Nasional Berhad (DNB) di Putrajaya pula, katanya, sebanyak 123 tapak dirancang sepanjang tahun 2021-2022 dan setakat ini sebanyak 75 tapak siap beroperasi sepenuhnya. –UTUSAN