Lima balai bomba baharu dijangka siap akhir tahun ini - Utusan Malaysia

Lima balai bomba baharu dijangka siap akhir tahun ini

MOHAMMAD Hamdan Wahid (tengah) bergambar bersama kontinjen bomba yang akan beraksi ke World Police And Fire Games Rotterdam 2022 di Ibu Pejabat JBPM Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menjangkakan sebanyak lima buah balai bomba dan penyelamat (BBP) baharu bakal siap dibina pada hujung tahun ini.

Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid berkata, kesemua balai tersebut akan dapat beroperasi dengan baik bagi memberi perkhidmatan kepada penduduk sekitar.

“Dua daripada BBP berkenaan masing-masing akan terletak di Sarawak dan Semenanjung manakala baki sebuah lagi di Sabah,” katanya ketika ditemui para pemberita di sini hari ini selepas menerima bendera JBPM sebagai Timbalan Chief de Mission ke Sukan Polis dan Bomba Sedunia 2022 di Rotterdam, Belanda yang berlangsung mulai 22 Julai nanti

Seramai 41 pegawai JBPM akan menyertai temasya dwitahunan itu dalam lima jenis permainan dengan sasaran kali ini untuk membawa pulang sejumlah sembilan pingat emas.

Ketika ini, terdapat 325 buah BBP di seluruh negara dengan kekuatan keseluruhan 15,000 orang namun jumlah itu masih agak kurang kerana JBPM memerlukan secara ideal 500 buah.

Keperluan pembinaan sesebuah balai baharu itu dilakukan berdasarkan 21 kriteria antaranya jumlah penduduk, bilangan bangunan dan kekerapan panggilan kecemasan di kawasan itu.

Menyentuh perancangan 15 buah BBP lagi, beliau berkata, perkara tersebut masih dalam proses penilaian kerana ada yang dikategorikan sebagai projek bermasalah dan terpaksa ditunda.

“Justeru, hanya lima BBP yang tidak dianggap projek sakit dijangka dapat siap dengan lancar dan terus beroperasi menjelang akhir tahun ini kerana kita akan ramai rekrut baharu,” katanya.

Beliau memberi contoh di Sabah semalam, seramai 148 anggota baharu berjaya menerima sijil tamat kursus dengan 144 orang daripadanya akan ditempatkan di BBP sekitar Semenanjung.

Baki empat rekrut lagi akan berkhidmat di Sabah manakala pada Isnin depan di Sarawak pula, seramai 110 anggota baharu akan menamatkan kursus sebelum dihantar ke seluruh negara.

Sementara itu, Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia di beberapa lokasi di Semenanjung, pula, ujarnya, bakal melahirkan sejumlah 760 orang rekrut baharu pada sepanjang tahun ini.

Mohamad Hamdan menambah, kesemua mereka turut bersedia mengoperasikan BBP baharu selain menggantikan kekosongan tempat petugas yang bersara atau meninggal dunia awal.

JBPM tahun ini jelasnya, menerima peruntukan sebanyak RM169 juta yang turut meliputi bajet pembangunan, pembelian jentera baharu, peralatan pernafasan dan penyiasatan kebakaran.

“Kita bagaimanapun optimis dan berharap peruntukan pembangunan untuk JBPM pada tahun depan akan ditambah lagi dalam Bajet 2023 dibentang menjelang hujung tahun ini,” katanya. –UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN