SEREMBAN: Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan menegaskan, wawancara beliau dengan Asia Times seperti yang disiarkan agensi media itu baru-baru ini perlu dilihat dalam konteks keseluruhan.
Jelasnya, melihat wawancara tersebut secara terpisah-pisah hanya akan memberi gambaran tidak tepat dan negatif termasuk kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, malah, kepada dirinya sendiri.
“Saya ingin membuat penegasan bahawa wawancara saya dengan Asia Times yang berpangkalan di Hong Kong baru-baru ini mesti dilihat dalam konteks keseluruhan atau ‘in totality’ dan bukan secara ‘piecemeal’ dan terpisah-pisah sehingga ia memberi gambaran yang tidak tepat.
“Sangatlah penting untuk saya menegaskan bahawa konteks keseluruhan temubual tersebut ialah penegasan saya bahawa setiap orang yang dituduh berhak menerima penghakiman yang adil tanpa sebarang konflik kepentingan, serta pengampunan di bawah undang-undang Malaysia hanya akan diberi selepas seorang tertuduh mula menjalankan hukuman.
“Segala yang di luar konteks tersebut hanya memberi gambaran negatif kepada Datuk Seri Najib dan diri saya serta dijadikan bahan propaganda musuh politik UMNO,” kata beliau dalam kenyataan hari ini.
Sebelum ini, Mohamad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau menepis laporan Asia Times yang mendakwa beliau percaya bekas Perdana Menteri itu sepatutnya dipenjarakan.
Beliau dilaporkan berkata, Najib sepatutnya mendapat perbicaraan yang adil dan beliau menerangkan tentang proses pengampunan yang biasanya dijalankan selepas hukuman dijalankan.
Sementara itu, bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu berkata, dia tidak lagi berhasrat untuk mengulas mengenai perkara tersebut dan fokusnya ketika ini adalah untuk menyediakan parti menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15. –UTUSAN ONLINE










