Lelaki buat panggilan palsu dakwa bunuh isteri - Utusan Malaysia

Lelaki buat panggilan palsu dakwa bunuh isteri

CHRISTOPHER PATIT
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Polis Melaka sedang mengesan seorang lelaki yang membuat panggilan palsu mendakwa dia telah membunuh isterinya di sebuah rumah di Ayer Keroh di sini Rabu lalu.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, suspek membuat panggilan kepada Balai Polis Ayer Keroh pada pukul 7.30 petang, dengan mendakwa telah membunuh isterinya di sebuah rumah.

Beliau berkata, berdasarkan panggilan tersebut, sepasukan 20 pegawai dan anggota bergegas ke lokasi sebelum mendapati maklumat diberikan adalah palsu. 

“Polis termasuk Unit Forensik melakukan pemeriksaan di alamat diberikan dan mendapati rumah tersebut didiami individu lain. 

“Siasatan di sekitar kawasan perumahan itu juga tidak menemukan sebarang petunjuk berkaitan maklumat disalurkan pemanggil,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Christopher berkata, susulan itu, pihaknya kini sedang mengesan pemanggil dipercayai berusia 33 tahun itu atas kesalahan membuat panggilan palsu di bawah Seksyen 182 Kanun Keseksaan. 

Jelasnya, sabit kesalahan, pemanggil boleh dikenakan hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya.

“Polis memandang serius perbuatan laporan palsu sebegini dan tindakan undang-undang akan diambil terhadap mereka sebagai pengajaran kepada masyarakat.

“Perbuatan itu menyusahkan pasukan polis kerana terpaksa menyiasat sesuatu kes yang sama sekali tidak berlaku,” katanya. –UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN