SEREMBAN: Seorang pembeli barangan lusuh berjaya membida sebanyak empat buah kereta tidak boleh didaftarkan bernilai RM31,300 dalam acara Lelongan Awam Siri 2/2022 Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sembilan di Dewan Orang Ramai Taman Tasik Jaya, di sini, hari ini.
Sivavijian, 50, berkata, dia sememangnya sering menyertai acara lelongan awam dari pelbagai agensi termasuk pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia bagi mendapatkan bekalan kereta lusuh secara sah.
Menurutnya, perniagaan barangan lusuh yang diusahakannya di Mambau memerlukan sekurang-kurangnya 50 hingga ke 60 kereta berkenaan sebulan yang kemudian akan dipotong mengikut pasaran.
“Mana-mana acara lelongan awam pun akan saya pergi malah sehingga ke Kelantan dan Terengganu. Saya ikuti dan bida kerana mahu memastikan setiap kenderaan lusuh yang berada di premis perniagaan saya mempunyai dokumen yang sah.
“Saya tidak mahu nanti ada orang kata saya jual barang curi, jika pihak berkuasa datang periksa, saya boleh tunjukkan dokumen kenderaan ini.
“Kebiasaannya, kalau saya beli kereta lusuh pada harga RM1,000, keuntungan boleh meningkat sekitar 20 hingga 30 peratus daripada harga pembelian tersebut,” katanya ketika ditemui pemberita hari ini.
Sementara itu, Pengarah JPJ) Negeri Sembilan, Hanif Yusabra Yusuf berkata, kesemua 41 buah kenderaan yang telah disita oleh Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dalam Lelongan Awam Siri 2/2022 berjaya dibida dengan jumlah keseluruhan bidaan sebanyak RM288,350.
Menurutnya, daripada jumlah berkenaan, hanya 23 buah kenderaan sahaja yang boleh dilesenkan manakala 18 buah kenderaan lagi tidak boleh didaftar.
“Hari ini, seramai 77 pembida hadir termasuk pembida barangan lusuh dari negeri lain. Sebelum membuat proses bidaan, mereka perlu menunjukkan bukti lesen mereka dan membida kenderaan lusuh.
“Langkah ini penting buat perniagaan barangan lusuh untuk mendapatkan kereta lusuh yang sah dan bukannya terlibat dengan memiliki kereta curi,” katanya. –UTUSAN ONLINE