Latih Amal Keselamatan Menyeluruh tingkat kesiapsiagaan negara - Utusan Malaysia

Latih Amal Keselamatan Menyeluruh tingkat kesiapsiagaan negara

ISMAIL Sabri Yaakob (tengah) ketika melancarkan Persidangan Keselamatan Negara 2022 (PKN'22) di Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Sudah tiba masanya Majlis Keselamatan Negara (MKN) melaksanakan inisiatif Latih Amal Keselamatan Menyeluruh bagi membolehkan tahap kesiapsiagaan dipertingkat untuk Malaysia menghadapi sebarang potensi situasi krisis pada masa hadapan. 

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menegaskan, Latih Amal itu perlu melibatkan kementerian dan agensi Kerajaan Persekutuan dengan kerjasama kerajaan negeri serta penglibatan pihak swasta. 

Malah, jelas beliau, ia perlu diintegrasikan aspek sukarelawan dan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan khususnya melibatkan pelbagai segmen komuniti. 

“Setiap agensi kerajaan harus bersedia melalui mekanisme sedia ada untuk memulakan perancangan pelaksanaan Latih Amal Keselamatan Menyeluruh ini pada kadar segera. 

“Bagi tempoh tiga tahun akan datang, MKN harus memulakan suatu kerangka pelaksanaan Latih Amal Keselamatan Menyeluruh untuk diuji di peringkat awal sebelum diperkemaskan secara berterusan,” katanya ketika berucap merasmikan Persidangan Keselamatan Negara dan Sambutan Bulan Keselamatan Negara 2022, di sini hari ini.

Ismail Sabri berkata, Doktrin Keselamatan Menyeluruh (Comsec) yang telah dilancarkan MKN membolehkan Malaysia mendepani cabaran pengurusan keselamatan negara masa kini dan akan datang sejajar dengan dinamika dan evolusi pengurusan keselamatan negara.

Kata Perdana Menteri, ia turut berperanan membolehkan tanggungjawab memelihara keselamatan negara dipikul bersama-sama seluruh jentera kerajaan dan segenap lapisan masyarakat secara proaktif.

“Saya menyeru kepada seluruh jentera kerajaan, khususnya perkhidmatan awam memainkan peranan memastikan strategi keselamatan menyeluruh dapat diterap dan diamalkan dalam seluruh aspek tadbir urus negara,” katanya.

Perdana Menteri berkata, cabaran pengurusan keselamatan negara turut merangkumi aspek kehidupan seharian, sebagai contoh sekuriti makanan memberi impak terhadap keselamatan negara, sekiranya ia tidak diurus dengan baik. 

Justeru, katanya, Isu sekuriti makanan tidak boleh dilihat dari sudut pertanian, penternakan dan bekalan makanan semata-mata kerana ia turut berkait rapat dengan situasi ketidakstabilan yang berlaku di peringkat antarabangsa.

“Konflik Rusia-Ukraine, serta perubahan iklim yang ekstrem adalah contoh melibatkan kesan rantaian global, yang menyebabkan seluruh Keluarga Malaysia turut terkesan. 

“Jika tiada persediaan awal dibuat, negara pasti berdepan risiko yang akhirnya menjejaskan kestabilan sosial dan ekonomi, dan sekaligus mengakibatkan implikasi keselamatan yang serius,” katanya.

Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata, kerajaan memutuskan untuk memperkenalkan konsep Pengurusan Keselamatan Berasaskan Komuniti (CBSM) bagi mengiktiraf sumbangan dan peranan ahli komuniti. 

Katanya, budaya kesukarelawanan perlu terus disemai dan dipupuk sebagai satu pendekatan memastikan komuniti mampu berhadapan dengan cabaran-cabaran mendatang. 

Pada masa sama, Perdana Menteri menyeru komuniti untuk bersedia menjadi mata dan telinga agensi keselamatan, dalam usaha mencegah sebarang bentuk ancaman kepada keselamatan negara. –UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya