Lapan ditahan terlibat rusuhan bersenjata - Utusan Malaysia

Lapan ditahan terlibat rusuhan bersenjata

ABDUL RAHIM MD. DIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Lapan lelaki ditahan setelah dipercayai terlibat dalam kejadian  rusuhan bersenjata di sebuah kedai makan di Kampung Kuala Ibai di sini, Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Md. Din berkata, kesemua suspek yang ditahan itu berusia antara 23 sehingga 41 tahun.

Menurut beliau, tujuh daripada lapan suspek ditahan ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu manakala seorang lagi di Kampung Kuala Ibai.

“Pihak polis sebelum itu menerima maklumat berlaku pergaduhan melibatkan 15 ke 20 orang menggunakan senjata berbahaya di sebuah kedai makan kira-kira jam 9 malam pada Khamis.

“Namun, sebaik tiba di tempat kejadian, kesemua mereka didapati melarikan diri dan satu operasi dilancarkan yang membawa kepada penahanan lapan orang suspek.

“Siasatan awal mendapati rusuhan ini berpunca perselisihan faham seorang penyewa dengan pengawal keselamatan di sebuah kawasan perumahan di sini disebabkan isu parkir kenderaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau memberitahu, pihak polis masih giat meneruskan siasatan bagi mengesan beberapa individu lagi yang disyaki terlibat sambil menegaskan insiden itu bukan berpunca daripada isu perkauman.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan. –UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN