PETALING JAYA: Bekalan minyak masak berpeket dikesan berkurangan di seluruh negara apabila ramai pengguna mengeluh sukar mendapatkannya pada masa ini ketika kebanyakan umat Islam sedang melakukan persiapan menyambut Hari Raya Aidiladha, Ahad ini.
Di Melaka, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) cawangan negeri mengenal pasti antara 100 hingga 200 premis pemborong dan peruncit di negeri tersebut didapati tidak menjual minyak masak peket bersubsidi satu kilogram.
Malah, di Felda Jengka 24 dan Felda Sungai Retang di Jerantut Pahang, kira-kira 4,000 penduduk di situ terputus bekalan minyak masak peket yang telah berlarutan sehingga dua minggu sehingga memaksa mereka membeli minyak berbotol pada harga lebih mahal.
Di Butterworth, Pulau Pinang, kebanyakan pengguna merungut apabila berdepan kesukaran untuk mendapatkan bekalan minyak masak peket yang sering kehabisan stok.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Yayasan Pengguna Negara Malaysia (YPNM), Datuk Mohd. Firdaus Abdullah berkata, kerajaan perlu bertindak segera dengan menubuhkan sebuah jawatankuasa khas untuk melakukan siasatan menyebabkan situasi itu berlaku.
Katanya, jawatankuasa itu bagi mengkaji dan melakukan forensik keseluruhan terhadap semua pemain industri yang terlibat termasuk peruncit, pemborong, pengedar, pembungkus dan pengilang.
“Menerusi usaha ini, kerajaan dapat mengenal pasti orang tengah dan sindiket yang memonopoli minyak masak peket satu kilogram serta merosakkan sistem ekonomi dan jaminan keselamatan makanan.
“Kerajaan perlu segera bertindak kerana permainan orang tengah dan sindiket ini berpengalaman menipu jabatan dan agensi kerajaan sejak sekian lama dan perlu mengambil tindakan yang cukup tegas demi keselamatan pengguna dan negara,” katanya.
Menurut Mohd. Firdaus, rangkaian sindiket terbabit kini semakin kukuh terdiri daripada pelbagai lapisan perniagaan seperti kedai runcit, pembekal, pemborong, pembungkus dan pengilang.
“Kartel dan sindiket ini begitu kuat dan dapat menguasai situasi dari semasa ke semasa, ia seolah-olah ada tali barut membantu rangkaian ini.
“Mereka (rangkaian) ini membabitkan kumpulan sindiket dari Filipina dan Thailand untuk kegunaan tempatan dan yang paling besar pemborong dan pengeksport tempatan.
“Kesemua sindiket ini mereka menguasai minyak masak, minyak sawit dan minyak masak terpakai,” dakwanya.
Isnin lalu, Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr. Wee Jeck Seng dilaporkan berkata, seakan ada sesuatu tidak kena kerana kuota minyak masak peket bersubsidi mencukupi, namun masih berlaku kekurangan bekalannya.
Jeck Seng berkata, isu tersebut perlu diberi perhatian termasuk mengenal pasti punca kekurangan minyak masak peket di pasaran.
Memberikan contoh, Mohd. Firdaus berkata, Pontianak sebahagian Kalimantan bersempadan dengan Tepedu, Serian Sarawak, Kepulauan Sulu dan Filipina bersempadan dengan Pulau Sebatik, Lahad Datu dan Semporna di Sabah, kesemuanya bergantung kepala bekalan minyak masak, gas, diesel dan barangan keperluan asas dari negara ini yang diseludup keluar.
“Bot laut dalam nelayan pantai timur juga menyeludup diesel, minyak masak ke bot nelayan Thailand, Vietnam dan Kemboja. Negara kita bocor,” katanya.
Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Kos Sara Hidup Pakatan Harapan (PH), Cha Kee Chin berkata, walaupun KPDNHEP memaklumkan tiada gangguan bekalan minyak masak peket, hasil tinjauan berlaku sebaliknya.
Beliau berkata, tinjauannya ke tiga buah pasar raya besar di Parlimen Rasah di sini mendapati, tiada minyak masak peket dijual dan ia bukan sesuatu yang wajar berlaku ketika minyak masak sudah menjadi bahan asas yang digunakan rakyat.
“Isu kekurangan bekalan minyak masak peket ini mesti kita selesaikan dengan segera, ia tidak boleh berterusan berlaku. Saya sendiri membuat tinjauan dan mendapati memang tiada langsung minyak masak peket dijual, kalau sehari mungkin kita boleh faham tetapi ia berhari-hari, pasar raya masih tidak menjualnya.
“Bagi saya, tidak kira apa juga kerajaan buat, yang penting dekat pasaran runcit, minyak masak peket bersubsidi perlu ada, kita pergi ke kedai ia ada,” katanya. – UTUSAN










