Koo Ham dakwa Menteri Sumber Manusia berbohong di Dewan Rakyat - Utusan Malaysia

Koo Ham dakwa Menteri Sumber Manusia berbohong di Dewan Rakyat

NGEH KOO HAM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen DAP Beruas, Datuk Ngeh Koo Ham mendakwa sistem yang diguna pakai untuk pengambilan pekerja asing tidak berfungsi dengan baik, sekali gus menyifatkan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan membuat suatu pembohongan besar.

Beliau berkata demikian ketika memberi soalan tambahan kepada menteri berkenaan berhubung ketika sesi Pertanyaan-Pertanyaan Lisan dalam sidang Dewan Rakyat, hari ini.

“Saya rasa jawapan menteri ini satu pembohongan besar, saya sudah berkali-kali menyatakan kerana selama ini saya sudah berkali buat permohonan melalui online (dalam talian), ia langsung tidak berfungsi.

“Lagi aduan, pindaan butir-butir syarikat mesti pergi ke Putrajaya, kemudian Kementerian Dalam Negeri dan Jabatan Imigresen berkata, sistem tidak berfungsi. Apa ini? Berpuluh billion ringgit setiap tahun we suffer so much lost. Ini satu jenayah teruk sekali. Menteri KDN dan Sumber Manusia mesti bertanggungjawab,” katanya.

Bagaimanapun, Saravanan menepis dakwaan tersebut dengan menjelaskan sistem tersebut berfungsi dengan baik dan mencabar Ahli Parlimen Beruas itu ke Putrajaya untuk menyemak sistem berkenaan sama ada benar-benar tidak berfungsi atau sebaliknya.

“Sistem berfungsi baik dan tak ada masalah, saya cabar Beruas, selepas habis dewan ini, kita sama-sama pergi ke Putrajaya, kita semak,” katanya.

Koo Ham kemudiannya menerima cabaran tersebut untuk menyelesaikan perkara berkenaan dengan menteri itu sendiri.

Dalam pada itu, Saravanan turut menafikan maklumat yang beliau meluluskan 200,000 pekerja asing dari Bangladesh.

Tegasnya, permohonan pekerja asing yang dibuat majikan tidak melihat kepada kewarganegaraan, sebaliknya adalah berdasarkan 15 negara sumber.

“Kelulusan yang diberikan oleh Kementerian Sumber manusia untuk kuota pekerja asing adalah berdasarkan kepada sektor pekerjaan yang dibenarkan bagi penggajian pekerja asing.

“Kelulusan kuota tidak berdasarkan kepada kewarganegaraan pekerja asing. Selepas majikan mendapat kelulusan kuota pekerja asing daripada KSM dan setelah membuat pembayaran levi pekerja asing di Jabatan Imigresen Malaysia maka majikan boleh menentukan pekerja asing dari negara sumber yang ingin mereka gajikan.

“Justeru, maklumat mengenai saya meluluskan 200,000 pekerja asing dari Bangladesh adalah merupakan fakta yang tidak benar,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Abdullah Abdul Sani (PKR-Kapar), apakah rasional kementerian memproses 200,000 permohonan pekerja dari Bangladesh untuk dibawa masuk ke negara ini. –UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN