KeTSA bentang laporan penuh banjir di Baling 4 Ogos ini - Utusan Malaysia

KeTSA bentang laporan penuh banjir di Baling 4 Ogos ini

JENGKAUT melakukan kerja-kerja mendalamkan Sungai Lata Celak selepas kawasan itu dilanda banjir buat kali kedua selepas bencana kepala air dan banjir kali pertama pada awal bulan lalu di Kampung Iboi semalam. -UTUSAN/ SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) akan membentangkan laporan penuh berkaitan kejadian banjir di Baling, Kedah dalam sidang Dewan Rakyat pada sidang 4 Ogos ini.

Menterinya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, laporan terperinci berkait dengan kejadian melibatkan kajian melalui tinjauan udara yang dijalankan oleh Prof. Emeritus Datuk Dr. Ibrahim Koomo.

Menurutnya, ia merupakan kajian yang diketuai oleh KeTSA bersama beberapa kementerian lain seperti Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) dan kerajaan negeri Kedah.

“Kita akan gabungkan semua penemuan dan buat laporan terperinci dan setakat ini ia dalam proses penulisan terakhir. Kajian tersebut merangkumi pencarian punca dan cadangan-cadangan untuk mengatasi masalah yang berlaku.

“Antaranya kita diminta supaya mengkaji kolam-kolam yang ada di atas kawasan terbabit berikutan pokok durian king memerlukan air sentiasa ada. Kolam buatan manusia juga akan dikaji untuk melihat sekiranya ia menimbulkan risiko bahaya,” katanya selepas perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Pas Kawasan Kota Bharu kali ke-55 di sini, hari ini.

Dalam perkembangan lain, Ahli Parlimen Kota Bharu itu memberitahu, projek penanaman durian Musang King adalah urusan kerajaan negeri dan bukan kerajaan pusat seperti mana dimaklumkan pada persidangan Parlimen Malaysia.

Katanya, kerajaan negeri merupakan pihak yang boleh meluluskan, mengenakan kawal selia dan menguatkuasakan apa-apa larangan terhadap projek berkenaan.

“Bagaimanapun, sebanyak 5,000 batang pokok durian Musang King telah pun ditanam di kawasan seluas 52 hektar. Jika ditebang akan menyebabkan kawasan terbabit terdedah sementara menunggu tanaman baharu membesar.

“Saya difahamakan kerajaan negeri Kedah mengambil keputusan untuk meneruskan projek penanaman musang king dan kawasan yang belum ditanam akan ditanam dengan pokok-pokok,” ujarnya.

Media pada 4 Julai lalu melaporkan tiga maut dan lebih 800 buah rumah penduduk di Kampung Iboi serta sekitar kawasan Kupang, Baling terjejas selepas dilanda kepala air dari Gunung Inas.

Kejadian pukul 4.30 petang itu turut lenyap 16 buah kediaman manakala 18 lagi rosak teruk akibat terkena kayu balak hanyut. –UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya