Kerajaan negeri bincang isu kenaikan tambang feri Pulau Pangkor

Kerajaan negeri bincang isu kenaikan tambang feri Pulau Pangkor

NOLEE Ashilin Mohamed Radzi (kiri) pada program Apresiasi Seni Budaya dan Warisan Negeri Perak di Kompleks Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Perak di Ipoh hari ini. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Isu berkaitan kenaikan harga tambang feri ke Pulau Pangkor dibawa ke Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri (MMKN) untuk dibincangkan.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan negeri, Datuk Nolee Ashilin Mohamed Radzi berkata, perkara itu sememangnya dalam perhatian kerajaan negeri dan sedang berusaha mencari penyelesaian terbaik bagi menangani isu berkenaan. 

Katanya, kerajaan negeri juga prihatin dengan kegusaran oleh beberapa pihak khususnya penggiat industri tempatan yang bimbang kenaikan harga tambang tersebut akan menjejaskan kehadiran pengunjung ke pulau pelancongan itu.

“Kenaikan harga tambang itu ekoran peningkatan kos operasi termasuk harga bahan bakar di mana ia sebenarnya di luar kawalan kita.

“Difahamkan beberapa siri perjumpaan diadakan sebelum ini sehinggalah pihak kementerian (Kementerian Pengangkutan) membenarkan caj baharu itu. Ia (harga tambang) bukan diputuskan kerajaan negeri kerana kita tidak mengawal harga bagi pengangkutan awam,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar pada program Apresiasi Seni Budaya dan Warisan Negeri Perak di Kompleks Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Perak, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, beliau memberitahu, permohonan harga tambang baharu oleh pengusaha feri di Pulau Pangkor itu difahamkan dikemukakan mereka sejak Mac lalu.

“Perkara ini (kenaikan harga tambang) lebih kepada ‘market force’ dan permintaan pengusaha feri adalah berasaskan kepada perkara itu.

“Kita bawa isu ini kepada MMK dan ia sebenarnya di bawah portfolio Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam negeri, Datuk Mohd. Zolkafly Harun. Apa pun, kita akan kongsikan langkah dan tindakan yang akan dibuat,” katanya.

Dalam pada itu, mengulas sama ada harga tambang baharu itu akan menjejaskan kehadiran pelancong, Nolee Ashilin berkata, pihaknya akan memantau perkembangan terbaharu itu menjelang musim cuti persekolahan pada hari raya Aidiladha.

“Setakat ini, kita belum dapat maklum balas. Kita akan lihat semasa cuti raya nanti sama ada ia membawa kesan kepada pelancong ke Pulau Pangkor,” katanya.

Berkuat kuasa Jumaat lalu, tambang feri ke Pulau Pangkor dinaikkan kepada RM10 bagi perjalanan sehala untuk dewasa atau RM20 untuk pergi balik, manakala kanak-kanak RM5.50 sehala atau RM11 pergi balik, berbanding sebelum ini tiket sehala dewasa RM7 atau RM14 pergi balik dan kanak-kanak RM2.50 sehala atau RM5 pergi balik. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN