Kenaikan mendadak OPR naikkan hutang rakyat

Kenaikan mendadak OPR naikkan hutang rakyat

opr
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penganalisis ekonomi menjangka Bank Negara Malaysia (BNM) akan menaikkan kadar dasar semalaman (OPR) dalam usaha menangani kenaikan inflasi semasa.

Bagaimanapun, Pensyarah Kanan Putra Business School (PBS), Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berpendapat, kenaikan hanya pada kadar 25 mata asas, bukan 50 mata asas seperti dijangkakan oleh sesetengah pihak.

Kata beliau, kenaikan mendadak sehingga 50 mata asas hanya akan menyebabkan hutang rakyat meningkat dengan ketara, selain boleh menjejaskan pembiayaan bank.

“Oleh itu, saya lihat BNM mungkin hanya akan umum kenaikan OPR sebanyak 25 mata asas pada bulan ini kerana kadar inflasi masih rendah pada 2.8 peratus. Tetapi saya tidak melihat akan berlaku kenaikan 50 mata asas dalam satu pengumuman,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Terdahulu, AmBank Research pula menjangka BNM akan meningkatkan OPR sebanyak 50 mata asas dalam mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Julai ini, dengan jangkaan peningkatan inflasi.

Kenaikan sebanyak 50 mata asas  akan menjadikan OPR kepada 2.50 peratus, selepas kenaikan 25 mata dibuat oleh BNM bulan lalu.

Firma penyelidikan itu menjangkakan inflasi keseluruhan negara tahun ini antara 2.8 hingga  3.0 peratus. Inflasi keseluruhan pada Mei 2022 berada pada 2.8 peratus tahun ke tahun, menjadikan purata inflasi sepanjang tahun kepada 2.4 peratus tahun ke tahun.

Sementara itu, Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, kenaikan OPR tidak dapat dielakkan apabila kesan kenaikan faedah yang dilakukan oleh Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS) mula memberi kesan kepada aliran pasaran modal global dan tempatan. 

Ujarnya, ia menurunkan nilai ringgit dengan aliran keluar pelaburan yang lebih lumayan di AS seperti yang ditawarkan oleh kenaikan peratus di pasaran modal negara berkenaan. 

Jelasnya, sekiranya OPR tidak dinaikkan, pasaran modal negara akan terjejas dan nilai ringgit akan jatuh lebih teruk. 

“Itu menambahkan tekanan harga kepada barang-barang import terutamanya makanan. Kenaikan kadar inflasi yang dibendung dengan kawalan harga dan subsidi yang tinggi memberikan tekanan kepada posisi hutang kerajaan. 

“Namun, kenaikan OPR akan mengurangkan kuasa beli di samping menambah jumlah hutang yang kadarnya diapungkan, di mana rakyat perlu membayar lebih daripada pendapatan.

“Jumlah hutang seperti pinjaman kenderaan juga dijangka menurun dengan kenaikan faedah serta pemberhentian pengecualian cukai jualan dan perkhidmatan pada 30 Jun,” katanya.  

Menurut AmBank Research, dengan purata lima bulan pertama pada 2.4 peratus, untuk mencapai sasaran, pihaknya jangkakan sebanyak 2.8 ke 3.0 peratus, purata tujuh bulan berikutnya harus berlegar antara 3.0 peratus dan 3.5 peratus, ia dilihat sama dengan sasarannya.

“Walaupun harga siling semasa untuk keseluruhan ayam standard ditetapkan pada RM8.90 sekilogram (kg), harga purata untuk ayam pada Jun 2022 ialah RM9.70/kg.

“Itu memberi petunjuk bahawa penjual menjual melebihi harga siling sebanyak sembilan peratus, ia pasti akan memberi kesan secara langsung dan tidak langsung ke atas keseluruhan inflasi terhadap isi rumah.

“Kerajaan memutuskan untuk tidak menghapuskan harga siling ayam tetapi memperkenalkan harga siling baharu.

“Kami berharap dengan memperkenalkan semula harga siling baharu untuk ayam, penjual akan dapat menampung harga baharu ini tanpa menjejaskan aliran tunai mereka dan memberi kurang tekanan secara langsung dan tidak langsung terhadap kos sara hidup isi rumah,” katanya.

AmBank Research menjangkakan harga siling baharu sedikit sebanyak mencerminkan harga pasaran sebenar semasa untuk ayam antara RM10 dan RM12 sekilogram.

Selain itu, katanya, penghapusan harga siling telur dan subsidi minyak masak sawit akan memberi impak minimum ke atas keseluruhan indeks harga pengguna (IHP) kerana telur dan minyak hanya menyumbang 0.9 peratus daripada keseluruhan bakul IHP. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya