Kedaulatan negara dicabuli, bahas isu tuntutan waris Sultan Sulu di Parlimen - Utusan Malaysia

Kedaulatan negara dicabuli, bahas isu tuntutan waris Sultan Sulu di Parlimen

ANIFAH AMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Bekas Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman menggesa agar isu tuntutan Sultan Sulu dibahaskan di Parlimen agar keselamatan Sabah sentiasa terjamin.

Beliau berkata, sampai bila negara ini perlu berdiam diri mengenai isu tuntutan waris Sultan Sulu.

“Rakyat Malaysia yang berada di Sabah mahu tahu adakah kedaulatan negara dicabuli dan adakah kerajaan telah melakukan yang terbaik bagi mempertahankan kedaulatan kita.

“Apa lagi yang boleh dirampas oleh waris kumpulan Sulu dengan bantuan negara asing? Adakah mereka boleh merampas tanah di Sabah juga? Apabila itu berlaku, apa yang akan berlaku kepada rakyat Sabah, adakah rakyat Sabah akan menjadi pengemis di tanah mereka sendiri.

“Perkara sebegini kerajaan perlu jelaskan kepada kita semua. Ini adalah soal kedaulatan dan juga keselamatan negara terutama kepada rakyat di negeri ini kerana tunjang tuntutan itu adalah negeri Sabah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Justeru, semua rakyat Sabah harus bersatu bagi mendesak kerajaan mempertahankan kedaulatan negara susulan rampasan anak syarikat Petronas di Azerbaijan yang dipercayai oleh waris kumpulan Sulu.

Beliau berkata, Kabinet menubuhkan petugas khas untuk menyiasat perkara tersebut dan Petronas juga menjelaskan bahawa asetnya telah dilupuskan dan dihantar pulang namun, rakyat berhak mengetahui keseluruhan kejadian berkenaan.

“Rampasan itu dilakukan susulan tuntutan terhadap Sabah yang kita tidak iktiraf. Hakikat bahawa aset kita boleh dirampas adalah sama dengan campur tangan asing yang tidak menghormati dan tidak mengiktiraf tuntutan terhadap Sabah.

Anifah yang juga Presiden Parti Cinta Sabah (PCS) itu berkata, usul mengenai isu tuntutan waris Sultan Sulu itu yang dikemukakan oleh Ahli Parlimen Kota Belud, Isnaraissah Munirah Majilis sepatutnya dibenarkan dibahas di Parlimen.

“Memang tidak bijak untuk mendedahkan strategi Malaysia mengenai cara menangani isu tersebut seperti alasan diberikan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun semasa menolak usul itu untuk dibahaskan.

“Kami tidak meminta kerajaan mendedahkan perkara sulit semasa perbahasan. Saya percaya setiap ahli Parlimen tahu bahawa beberapa perkara adalah sulit dan hanya didedahkan kepada anggtoa kanan Kabinet,” katanya.

Mengulas lanjut katanya, adalah menjadi hak ahli Parlimen untuk membahaskan isu ini di Parlimen kerana mereka mewakili suara rakyat. Ahli Parlimen Sabah ingin membahaskan isu yang begitu penting kepada rakyat di negeri ini.

“Saya difahamkan usul itu telah dikemukakan semula kepada Pejabat Speaker dan saya berharap Speaker akan membenarkan isu itu dibahaskan. Apa gunanya mengamalkan demokrasi jika persoalan asas berkaitan kedaulatan kita tidak boleh dibahaskan,” katanya.

Tambah beliau, PCS sedia bekerjasama dengan mana-mana parti politik atau badan bukan kerajaan (NGO) untuk meneruskan isu yang dekat dihati setiap rakyat Sabah. Ini soal kedaulatan dan keselamatan negara. Rakyat Sabah sudah bosan mendengar tuntutan yang dilakukan oleh waris Sultan Sulu.

Usul mengenai tuntutan waris Sultan Sulu yang dikemukakan Ahli Parlimen Kota Belud pada Isnin ditolak oleh Speaker Dewan Rakyat sehingga menyebabkan Isnaraissah digantung selama dua hari.

Malah, usul sama yang dikemukakan oleh Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri Sabah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal turut ditolak oleh Speaker DUN, Datuk Kadzim M. Yahya. –UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN