KHARTOUM: Sudan memutuskan hubungan diplomatik dengan Emiriah Arab Bersatu (UAE) berikutan dakwaan sokongan negara Teluk itu terhadap kumpulan separa tentera Pasukan Tindakan Pantas (RSF).
Menteri Pertahanan Sudan, Yassin Ibrahim dalam ucapan disiarkan di televisyen berkata, negara itu akan memutuskan hubungan diplomatik dengan UAE dan memanggil pulang dutanya.
Beliau mendakwa, UAE melanggar kedaulatan negara melalui ‘proksi RSF’ yang bertempur dengan tentera Sudan dalam perang saudara sejak April 2023.
Terdahulu, UAE menafikan dakwaan ia membekal senjata kepada RSF, selain mempertahankan kedudukannya di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) di The Hague berkaitan tuduhan penglibatan dalam pembunuhan beramai-ramai di Darfur.
ICJ berkata, ia tidak boleh meneliti dakwaan itu kerana UAE, sebagai pihak kepada Konvensyen Genosid, membuat pengecualian yang menghalang mahkamah daripada mengadili UAE melanggar konvensyen tersebut.
Langkah diplomatik Sudan dibuat ketika gabungan agensi bantuan yang beroperasi di negara itu bimbang dengan ‘penyasaran sengaja terhadap infrastruktur kritikal di Port Sudan’, laluan utama bantuan ke negara Afrika Utara itu.
Sejak konflik bermula, agensi bantuan bergantung sepenuhnya kepada Port Sudan, terutama lapangan terbang dan pelabuhan, sebagai laluan utama bantuan antarabangsa.
Ia juga menjadi tempat perlindungan bagi ramai pelarian dalam negara yang dipindahkan dari pelbagai negeri.- THE GUARDIAN










