KOTA BHARU: Kegiatan menyeludup barangan subsidi ke negara jiran dilihat terencat sedikit ekoran pasukan keselamatan mempertingkatkan lagi kawalan sempadan Malaysia-Thailand di negeri ini.
Malah, setiap kenderaan yang melalui sekatan jalan raya (SJR) oleh Pasukan Gerakan Am (PGA) diperiksa dengan rapi.
Tinjauan Utusan Malaysia di sempadan Malaysia-Thailand dekat Pengkalan Kubor mendapati laluan yang sering digunakan oleh penyeludup lengang tanpa aktiviti ‘memunggah’ barang subsidi ke pangkalan haram.
Penduduk yang mahu dikenali Alias mengakui pembongkaran yang dibuat oleh Utusan Malaysia memberi impak terhadap aktiviti penyeludupan.
Menurutnya, sebelum ini ada lori-lori yang mengubah suai tangki berkumpul di hadapan sebuah masjid di sini menunggu masa yang sesuai untuk membawa petrol seludup ke pangkalan haram.
“Tetapi hari ini tiada, mungkin mereka tunggu isu penyeludupan ini reda sebelum aktif semula. Seminggu selepas ini saya yakin penyeludup ini akan aktif kembali.
“Jadi saya harap pihak berkuasa terus memperketatkan penguatkuasaan,” katanya.
Alias memberitahu, agak sukar untuk membendung kegiatan tersebut kerana ia adalah pekerjaan turun-temurun ditambah pula dengan jumlah pangkalan haram yang terlalu banyak di sepanjang sempadan Malaysia-Thailand.
Katanya, bagaimanapun komitmen anggota penguat kuasa membanteras penyeludupan wajar diberikan pujian kerana sanggup bergadai nyawa dalam mengawal sempadan negara.
Sementara itu, seorang penduduk di Rantau Panjang yang hanya mahu dikenali sebagai Mie berkata, kawalan di sempadan semakin ketat.
Katanya, selain pemeriksaan di SJR anggota penguat kuasa terus membuat rondaan menggunakan kenderaan pacuan empat roda dan motosikal.
“Saya boleh katakan sepanjang masa pihak berkuasa menjalankan rondaan di sempadan,” ujarnya. – UTUSAN









