KUALA TERENGGANU: Seorang penunggang motosikal maut selepas hilang kawalan dan terjatuh ketika dalam perjalanan pulang dari tempat kerja di Kampung Tok Molor di sini, semalam.
Dalam insiden pada pukul 6.45 petang itu, mangsa, Muhamad Jafri Othman, 34, dari Kampung Manir di sini yang bekerja sebagai juruteknik cedera parah meninggal dunia di tempat kejadian.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Md. Din berkata, siasatan awal mendapati mangsa bergerak dari arah Kampung Laut menuju ke Kampung Tok Molor di sini.
Menurutnya, setibanya di tempat kejadian, motosikal jenis Yamaha 135LC yang ditunggang mangsa dipercayai hilang kawalan lalu sebelum terjatuh di atas jalan raya.
“Mayat juruteknik itu dibawa ke Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk bedah siasat,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. –UTUSAN ONLINE