fbpx

JPN tidak pernah lantik ejen untuk urusan dapatkan MyKad

RUSLIN JUSOH

GEORGETOWN: Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) tidak pernah melantik mana-mana individu atau ejen untuk membantu orang awam melaksanakan proses pendaftaran dokumen bagi mendapatkan MyKad.

Ketua Pengarahnya,  Datuk Ruslin Jusoh berkata, pihaknya menerima aduan daripada orang ramai bahawa terdapat tawaran daripada ejen-ejen yang mendakwa boleh membantu mendapatkan Mykad dengan mudah, namun terdapat caj yang perlu dibayar pemohon berjumlah di antara RM2,000 hingga RM5,000.

”JPN ingin tegaskan kami tidak pernah melantik mana-mana ejen untuk membantu orang ramai mendapatkan Mykad.

”Orang ramai hanya perlu datang terus ke pejabat JPN yang terdapat di 225 lokasi termasuk Pusat Transformasi Bandar (UTC) di seluruh negara sekiranya mahu membuat pendaftaraan dokumen pengenalan diri atau sebarang dokumen berkaitan dengan JPN,” katanya selepas menyerahkan Mykad kepada seorang warga emas, R.Alliamah, 64, di JPN Pulau Pinang, di sini hari ini.

Menurut beliau, pihaknya meminta orang ramai yang menjadi mangsa ejen penipuan MyKad itu untuk segera tampil membuat laporan kepada pihak berkuasa supaya perkara tersebut dapat dibendung.

”Walaupun aduan yang diterima itu tidaklah banyak atau dalam kategori serius, namun, kami memandang berat hal ini kerana kerugian yang dialami mangsa menjangkau ribuan ringgit.

”Malah, ada antara mangsa juga tinggal di pusat bandar seperti di Pulau Pinang, Kuala Lumpur dan Selangor, jadi, kita percaya penyamar yang mendakwa menjadi ejen ini tidak hanya menyasarkan orang kampung, malah mereka yang tinggal di bandar juga tertipu,” katanya.

Tambah beliau, daripada aduan yang diterima juga, paling ramai yang menjadi mangsa ejen itu adalah dalam  kalangan mereka yang mempunyai anak tidak sah taraf.

”Ini kerana mereka takut untuk berurusan dengan JPN atas alasan bimbang akan didakwa di mahkamah kerana mempunyai anak luar nikah, namun, sebenarnya tidak ada dakwaan seperti itu.

”Kami di JPN akan sedaya upaya membantu mendapatkan dokumen untuk anak mereka, malah, jika lambat pendaftaraan kelahiran pun hanya dikenakan denda sahaja,” katanya.

Dalam pada itu tambah beliau, JPN juga mempunyai pasukan khas menerusi program Menyemai Kasih Rakyat (Mekar) untuk membantu orang ramai mendapatkan MyKad.

”Pasukan Mekar ini akan berjumpa sendiri dengan mereka yang mahu memohon MyKad membabitkan golongan warga emas, orang kurang upaya (OKU), pesakit terlantar, pesakit mental dan pesakit kronik yang sukar hadir ke JPN,” katanya. –UTUSAN ONLINE

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN

Menarik di Kosmo!