JPJ Pulau Pinang sita 47 kenderaan dipandu warga asing  - Utusan Malaysia

JPJ Pulau Pinang sita 47 kenderaan dipandu warga asing 

SEBAHAGIAN daripada motosikal termasuk yang dinaiki oleh warga asing diperiksa dalam Op PeWA oleh JPJ Pulau Pinang di sekitar bulatan Seberang Jaya, Butterworth semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PERMATANG PAUH: Sebanyak 47 buah kenderaan disita dalam Op Pemandu Warga Asing (PeWA) oleh Unit Operasi bersama Unit Peronda Bermotosikal (UPB), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang di sekitar bulatan Seberang Jaya, di sini semalam.

Daripada jumlah itu, 44 daripadanya ialah motosikal, dua buah kenderaan persendirian serta sebuah lori kecil.

Operasi selama dua jam bermula pukul 7 pagi itu diadakan bertujuan memastikan pemandu warga asing yang diperiksa memiliki lesen memandu dan dokumen pengenalan diri yang sah selain mematuhi peraturan serta undang-undang jalan raya yang ditetapkan.

Menurut JPJ Pulau Pinang, pemandu Rohingya yang memiliki kad Suruhanjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu Untuk Pelarian (UNHCR) paling ramai ditahan dalam operasi itu iaitu seramai 20 orang diikuti oleh Bangladesh (9); Indonesia (7), Vietnam (4), India (3), Myanmar (2) serta masing-masing seorang dari Nepal dan Kemboja.

“Kesalahan tiada lesen memandu antara kesalahan yang paling banyak dikesan selain kesalahan Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh, tiada perlindungan insurans dan kesalahan teknikal lain.

“Semakan terhadap maklumat kenderaan juga mendapati ada segelintir warga tempatan sanggup menyewakan kenderaan milik mereka untuk kegunaan warga asing dengan bayaran sewaan bulanan,” katanya dalam kenyataan dalam laman Facebook di sini.

Jelas kenyataan itu, tindakan segelintir warga tempatan terbabit menyebabkan mereka berisiko disaman kerana membenarkan pemandu warga asing memandu dengan tidak memiliki lesen atau LKM tamat tempoh selain tidak dilindungi oleh insurans. 

“Kesemua kenderaan tersebut disita di bawah Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan dibawa ke pejabat JPJ Pulau Pinang di sini. 

“Penguatkuasaan ini akan dilaksanakan secara berterusan dari semasa ke semasa dan tindakan tegas juga akan diambil terhadap pemandu warga asing serta pemilik kenderaan yang ingkar terhadap peraturan serta undang-undang ditetapkan semasa memandu di negeri ini tanpa kompromi,” katanya. –UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.