ALOR GAJAH: Luluh hati seorang ibu apabila dimaklumkan bahawa jenazah mangsa kemalangan yang dilihatnya terbaring atas jalan raya, sebenarnya adalah anak kandung sendiri.
Ketika ditemui Utusan Malaysia di Unit Forensik Hospital Alor Gajah, Rusita Mohamad Aris, 54, berkata, pada awalnya dia langsung tidak menyangka bahawa mangsa nahas yang dilihat terbaring selepas terperosok di bawah sebuah kereta di Jalan Air Tanai, Air Pa’abas di sini semalam (Isnin) adalah anak keduanya, Muhammad Khiesyam Mohamad Jamel, 14.
Kata Rusita, ketika kejadian dia sedang dalam perjalanan menghantar anak bongsunya berusia 10 tahun ke sekolah, sebelum ternampak kemalangan berkenaan.
Jelasnya, bagaimanapun dia hanya melalui kawasan itu sebelum tiba-tiba mendapat panggilan telefon daripada jiran, memaklumkan bahawa Muhammad Khiesyam yang mesra dipanggil Acik adalah individu terlibat kemalangan.
“Masa itu saya nak hantar anak yang kecil ke sekolah dengan kereta dan ternampak kemalangan dengan seorang mangsa terbaring di atas jalan raya.
“Saya tak nampak motosikal anak, jadi saya meneruskan perjalanan menghantar anak sehinggalah dalam perjalanan pulang, jiran beritahu Acik kemalangan,” katanya penuh sebak.
Mengulas lanjut, ibu tunggal itu turut memaklumkan, sebelum kejadian Acik sempat bersalaman dengannya sambil memberitahu akan pulang lewat kerana mempunyai aktiviti di sekolah.
“Selalu memang saya hantar dia naik kereta tetapi hari ini dia ke sekolah menunggang motosikal kerana katanya akan pulang lewat dan tidak mahu menyusahkan saya perlu berulang-alik ambil adik, kemudian dia.
“Saya tak sangka mangsa yang terbaring itu anak saya sendiri, baru sebulan dia duduk bersama saya dan adik-adiknya kerana sebelum ini dia tinggal di asrama di sekolah sukan,” ujarnya.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Arshad Abu berkata, mangsa yang menunggang motosikal jenis Modenas Kriss dalam perjalanan dari Alor Gajah telah bertembung dengan sebuah kereta jenis Honda CR-V, dipandu seorang warga emas yang memasuki laluan bertentangan.
Beliau berkata, akibat kemalangan tersebut, mangsa maut ditempat kejadian.
“Pemandu Honda CR-V berusia 60 tahun dari arah Masjid Tanah telah masuk ke laluan bertentangan dan telah bertembung dengan mangsa. Terdapat kesan geseran dan kesan tayar ditemui di laluan penunggang motosikal berkenaan,” katanya. – UTUSAN