PETALING JAYA: Kerajaan tidak perlu melayan tuntutan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung jawatan Timbalan Perdana Menteri (TPM).
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, tumpuan pada masa ini seharusnya difokuskan kepada pemulihan ekonomi dan mengawal inflasi berbanding berebut soal jawatan.
“Adakah prioriti negara ketika ini untuk melantik TPM, menteri-menteri, pelbagai jawatan baharu serta menubuhkan banyak lagi majlis-majlis dan jawatan kuasa sedangkan Pilihan Raya Umum (PRU) semakin dekat? Paling lama pun kurang setahun lagi.

“Harap kerajaan jangan layan, fokus kepada pemulihan ekonomi dan mengawal inflasi. Rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan bukan jawatan didahulukan, berlambak majlis-majlis ditubuhkan,” katanya dalam hantaran di laman Facebook hari ini.
Semalam, Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mengesahkan pertemuannya dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bagi membincangkan lantikan jawatan baharu termasuk TPM.
Katanya, beberapa perkara penting telah dibangkitkan dalam pertemuan itu berdasarkan kandungan perjanjian antara PN dan Perdana Menteri.
Dalam perkembangan sama, Najib berkata, Muhyiddin seolah-olah semakin terdesak untuk mencari gula-gula bagi mengelak lebih ramai pemimpin Bersatu keluar parti sebagaimana yang berlaku awal tahun ini. – UTUSAN