PUTRAJAYA: Akreditasi dan Pembangunan Halal Australia (AHDAA) mendakwa segala tuduhan yang dikaitkan dengan badan pensijilan halal luar negara itu adalah satu rekaan bertujuan menjejaskan permohonan akreditasi semasa pihaknya dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
Dalam satu maklum balas kepada Mingguan Malaysia, jurucakap AHDAA memaklumkan, ia sekali gus meletakkan keraguan kepada pihak luar terhadap kredibiliti AHDAA selaku badan akreditasi luar negara yang dipercayai atas dakwaan berhubung ketidakpatuhan halal sebuah rumah sembelihan di Brisbane, Queensland di bawah seliaan mereka.
Menurutnya, setiap rumah sembelihan yang diiktiraf pihaknya mempunyai pemeriksa kepala haiwan Muslim yang bertanggungjawab membuat pemeriksaan kerosakan tempurung kepala selari dengan dasar dan garis panduan halal ditetapkan di samping memenuhi piawaian halal antarabangsa seperti MS 1500, UAE.S 2055-1, GSO 993, dan OIC-SMIIC-1.
Jelasnya, kerosakan tempurung kepala haiwan hanya ditentukan oleh penyelia AHDAA serta penyembelih halal dan pemeriksa kepala yang bertugas dan bukannya diserahkan kepada pengurusan syarikat semata-mata.
“Jika kepala haiwan didapati rosak, pelekat tidak halal diletakkan dan seluruh badan haiwan itu dianggap tidak halal, seterusnya ia diasingkan daripada haiwan halal sebagaimana dalam gambar yang diperoleh Utusan Malaysia di mana tag tidak halal dilekatkan pada kepala yang rosak,” katanya menerusi e-mel, di sini semalam.
Jakim kelmarin mengesahkan AHDAA bukan badan pensijilan halal yang diiktiraf pihaknya ketika ini, justeru mana-mana rumah sembelih di bawah seliaan AHDAA tidak dibenarkan mengeksport produk daging mereka ke Malaysia.
Akhbar ini sejak Selasa lalu mendedahkan pengakuan tiga bekas pekerja berhubung ketidakpatuhan halal sebuah rumah sembelihan di sana selepas isu sama berlaku di Thomas Food Industries (TFI) di Lobethal, Australia.
Rumah sembelihan yang mendapat pengiktirafan halal AHDAA itu menggunakan kaedah stunning iaitu menembak pelalian tekanan bagi melemahkan haiwan sebelum disembelih.
Namun cara berkenaan boleh mengakibatkan tempurung kepala haiwan pecah jika tidak dilakukan dengan betul, sekali gus mengakibatkan haiwan itu mati terlebih dahulu sebelum disembelih.
Berhubung tuduhan penyembelih tidak berpeluang memeriksa kawasan penyimpanan daging seperti peti sejuk atau rak pembungkusan, AHDAA berkata, hanya penyelia halal yang bertugas akan melaksanakan pemeriksaan keseluruhan sistem terutama memeriksa bangkai tidak halal untuk memastikan ia sepadan dengan nombor dalam sistem.
Penyelia halal kemudiannya akan menandatangani semua helaian rekod halal AHDAA sebagaimana disahkan melalui audit dilaksanakan badan akreditasi luar negara selain kelulusan daripada agensi Kerajaan Australia iaitu Jabatan Pertanian, Air dan Persekitaran Australia (DAWE).
Pada masa sama, AHDAA mematuhi dasar ketat mengenai pemisahan antara makanan halal dan tidak halal apatah lagi dakwaan wujudnya penyimpanan daging babi kerana kesemua rumah sembelih di bawah seliaan pihaknya tidak dibenarkan menyimpan daging babi di kawasan penyimpanan mereka dalam apa jua keadaan.
“AHDAA tidak menerima sebarang produk halal yang dinamakan, dilabel atau diiklankan dengan perkataan ‘pork’ atau ‘bacon’ dan maklumat itu boleh disemak menerusi laman web mengenai Skim Halal AHDAA: https://www.ahdaa.com.au/ahdaa-halal-scheme/
“Sijil halal eksport dijana oleh DAWE dan kemudiannya dihantar ke pejabat kami dan pekerja kami akan menandatangani, mengecop beserta tarikh secara manual sebelum menghantarnya kepada pelanggan.
“Pelanggan tidak mempunyai akses dan tidak boleh menandatangani sijil eksport secara digital kerana setiap sijil perlu ditandatangani dengan tulisan tangan di pejabat kami,” katanya.
Pada masa sama, AHDAA memberitahu, tiada jumlah minimum yang ditetapkan untuk haiwan itu dimusnahkan jika mendapati ia tidak halal kerana kod berkomputer digunakan bagi merekodkannya sebaik sahaja dikenal pasti tidak halal sekali gus memberi implikasi keseluruhan rantaian.
Justeru, pihaknya hairan berhubung dakwaan pelekat tidak halal sengaja ditanggalkan memandangkan sistem pengkomputeran yang diguna pakai adalah mustahil untuk berbuat demikian kerana terdapat kod yang berbeza bagi mengasingkan produk halal dan tidak halal. – UTUSAN










