Indonesia sedia batalkan MoU

Indonesia sedia batalkan MoU

indonesia
SEORANG wanita berjalan melepasi bangunan Kedutaan Besar Indonesia di Kuala Lumpur, semalam di sebalik polemik pengambilan pekerja Indonesia memuncak ekoran langkah negara itu membekukan sementara penghantaran tenaga kerjanya selagi Malaysia tidak mematuhi syarat perjanjian persefahaman yang dimeterai sebelum ini. – UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Indonesia tidak kisah jika Malaysia membuat keputu­san membatalkan me­morandum persefahaman (MoU) bagi pengambilan pekerja dari negara itu yang dimeterai 1 Ap­ril lalu.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Hermono berkata, terlalu banyak syarat yang ma­sih gagal dipenuhi negara ini mes­kipun sudah berjanji untuk mematuhinya.

Katanya, bukan sahaja Sistem Pembantu Rumah Dalam Talian (MOS) tidak dimansuhkan, malah soal kontrak pekerja, majikan dan gaji langsung tidak dimaklumkan kepada pi­haknya.

“Dalam MoU ada tertera terma dan syarat mengenai tanggungjawab majikan dan agensi pekerjaan dalam memaklumkan kepada kita mengenai terma kontrak pekerja kami.

“Tetapi sehingga saat ini, kita tidak tahu apa jenis kontrak yang diberikan, berapa jam mereka kena kerja dan berapa banyak gaji yang dibayar.

“Kita langsung tidak tahu,” katanya ketika dihubungi.

Sedangkan, katanya, Malaysia sudah memberikan komitmen menerusi MoU yang ditandatangani sebelum ini.

“Apa guna ada MoU jika ia tidak dihormati dan dilaksanakan. Kementerian Sumber Manusia sepatutnya memberi­kan maklum balas atau ke­nyataan kepada kami, tetapi setakat ini langsung tidak ada.

“Kami tidak kisah jika batalkan MoU, tetapi kami akan tunggu reaksi Malaysia. Selagi tidak ada sebarang jaminan dari Malaysia, selagi itu kita tidak akan proses sebarang pengambilan pekerja,” katanya.

Kelmarin, Hermono mengumumkan pembekuan sementara kemasukan semua pekerja ke Malaysia berkuat kuasa serta-merta selepas mesyuarat bersama pegawai kementerian luar dan kementerian tenaga kerja negara itu.

Keputusan itu dibuat setelah saluran sistem saluran tunggal yang dipersetujui dalam MoU terkesan dengan sistem MOS yang masih membenarkan pe­kerja Indonesia memasuki negara ini menggunakan visa pelancong sebelum memohon permit kerja.

Katanya, kerajaan Indonesia enggan menggunakan sistem MOS kerana terdedah kepada risiko buruh paksa.

Kira-kira 15,000 hingga 20,000 permohonan telah dite­rima dengan 10,000 permohonan daripada sektor perladangan dan pembuatan.

Sementara itu, Indonesia hanya akan menarik semula keputusan pembekuan kemasukan pekerjanya ke negara ini jika Putrajaya memenuhi segala syarat yang termaktub dalam MoU bagi pe­ngambilan dan perlindungan Pekhidmat Domestik Indonesia (PDI).

Koordinator Penerangan dan Sosial Budaya Kedutaan Indonesia di Malaysia, Yoshi Iskandar berkata, negaranya tegas dengan pendirian sebelum ini selagi syarat-syarat tersebut tidak dipenuhi termasuk berhubung pemansuhan MOS.

Katanya, Malaysia sepatutnya menghormati perjanjian yang dipersetujui bersama Pre­siden Indonesia, Joko Widodo.

“Laksanakan perjanjian ini, barulah tindakan (hantar semula pekerja Indonesia) dilakukan. Indonesia harap Malaysia melaksanakan MNoU PDI yang telah disepakati dan ditanda­tangani pada April lalu,” kata­nya ketika dihubungi di sini, semalam.

Tindakan Indonesia membekukan sementara pro­ses pe­­­ngambilan pekerja dari negara­nya akan menyebabkan Malaysia mengalami kerugian RM30 bilion setahun selain memberi kesan berantai khususnya melibatkan kenaikan kos sara hidup.

Kerugian itu membabitkan sektor kritikal seperti perladangan RM28 bilion tahun ini manakala perkila­ngan, pertanian dan pembinaan pula dianggarkan berbilion ringgit.

Pada masa ini kira-kira 900,000 pekerja asing yang bekerja dalam pelbagai sektor di negara ini sedangkan dua juta tenaga buruh diperlukan bagi menampung kegiatan ekonomi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN