Hujan meteor Delta Aquariids 1 pagi ini - Utusan Malaysia

Hujan meteor Delta Aquariids 1 pagi ini

TANGKAP layar mengenai fenomena hujan meteor Delta Aquariid yang dipaparkan Mysa.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Rakyat Malaysia terutama para peminat bidang falak berpeluang menyaksikan kemuncak curahan meteor Delta Aquariids di langit seluruh negara awal pagi esok.

 Menurut Agensi Angkasa Malaysia (Mysa) menerusi hantaran berbentuk infografik dalam laman sosialnya, peristiwa nadir tersebut dijangka berlaku sekitar pukul 1 pagi. 

“Kemuncak hujan tahi bintang berkenaan, secara purata sejumlah 20 meteor itu akan dapat dilihat jelas dalam masa sejam ketika keadaan langit gelap dan cuaca yang baik,” jelasnya.

Agensi tersebut malah menjangkakan, kenampakan curahan meteor itu adalah baik kerana kebetulan tiada gangguan daripada pantulan cahaya bulan bulan semasa berlaku kemuncak.

Insiden alamiah itu sekali gus ibarat menutup takwim Islam 1443 Hijrah apabila ia terjadi pada tarikh 29 Zulhijah sebelum umat Islam meraikan ketibaan 1 Muharam pada senja 29 Julai.

Mysa dalam pada itu menyatakan fenomena hujan meteor Delta Aquariid sebenarnya telah pun dapat dilihat penggemar sains astronomi sejak 12 Julai lalu hingga 23 Ogos kelak.

Bagaimanapun Pentadbiran Angkasa dan Aeronautik Kebangsaan (NASA) di Amerika Syarikat mengunjurkan kemuncaknya akan berlaku pada awal 29 Julai sehingga hari keesokan.

Nama hujan meteor ini merujuk kepada titik mula kemunculan di langit iaitu di kawasan buruj Aquarius tetapi lokasi asal kemunculannya itu masih boleh berlaku dari pelbagai arah berbeza.

Fenomena ini terjadi apabila bumi beredar mengelilingi matahari merentasi laluan orbit komet 96P/Machholz yang merupakan antara komet utama menyebabkan berlaku curahan meteor.

Komet itu dianggarkan mengambil masa selama 5.3 tahun untuk melengkapkan orbitnya dan ketika mengorbit menghampiri matahari, debunya terbebas disebabkan proses pemejalwapan.

Puing itu akan berserakan bagi membentuk laluan dipenuhi sisa komet tersebut yang akhirnya akan memasuki pula atmosfera bumi dan terbakar sebelum membentuk jalur bersinar panjang.

Mereka yang berminat mencerap meteor ini ujar Mysa, disaran berbuat demikian di tempat lapang dengan panorama langit luas tanpa ada halangan bangunan tinggi, pokok atau rumah.

Kelazimannya, penggemar angkasa akan menjauhi kawasan persekitaran yang bercahaya seperti ada lampu neon premis atau lampu jalan raya kerana situasi lebih gelap adalah lebih baik.

Seterusnya, sesuaikan mata dengan tahap kegelapan tersebut selama tempoh 20 minit dan tidak perlu fokus buruj Aquarius kerana meteor boleh muncul dari pelbagai arah yang berlainan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya