Harga barang melambung: Pelanggan mula berjimat-cermat - Utusan Malaysia

Harga barang melambung: Pelanggan mula berjimat-cermat

SUHAIMI Abd. Hamid menyusun beberapa barang kawalan sempena musim perayaan di gerainya di Masjid Tanah, Melaka. - UTUSAN/MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR GAJAH: Kenaikan harga barang keperluan sejak 1 Julai lalu membuatkan orang ramai lebih berhemah ketika berbelanja untuk menyambut Hari Raya Aidiladha.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, peniaga, Suhaimi Abd. Hamid, 58, berkata, walaupun orang ramai mula membuat persiapan perayaan, namun, aktiviti jual beli tidak serancak dulu.

Menurutnya, terdapat juga segelintir pelanggan yang akan bertanya pelbagai soalan berkaitan harga kerana mendakwa risau diri mereka ditipu.

“Saya diasak dengan pelbagai soalan dan ada juga yang membandingkan harga saya dengan pasar raya, meskipun sudah banyak diterangkan dalam media massa. Saya peniaga kecil dan bekalan diambil daripada orang tengah, sebab itu harganya mahal sedikit.

“Pelanggan masih membeli tetapi dalam keadaan terpaksa. Mereka ambil sikit-sikit dan beli sekadar untuk kegunaan pada hari mantai. Corak pembelian juga tidak seperti dahulu disebabkan faktor harga semasa,” katanya ketika ditemui.

Tinjauan Utusan Malaysia di Pasar Masjid Tanah di sini mendapati, keadaan pasar masih lengang memandangkan orang ramai hanya membeli barang keperluan untuk kegunaan harian.

Sementara itu, peniaga, Merhati Shamsuddin, 57, memberitahu, dia terpaksa mengehadkan pembelian bekalan, susulan kenaikan harga di peringkat pemborong.

Jelasnya, dia hanya mengambil barang niaga yang mempunyai permintaan tinggi berikutan sikap pelanggan kini yang semakin berhati-hati ketika berbelanja.

“Sebelum hari raya puasa, harga bayam RM2.50 sekilogram dan terus naik sehingga RM6.50 sekilogram. Pembekal memberi alasan faktor cuaca, kos baja dan anak benih yang semakin mahal.

“Pelanggan juga hanya membeli yang perlu sahaja. Ramai yang mengeluh kerana harga mahal. Sebab itu saya tidak berani ambil bekalan banyak seperti sebelum ini kerana kos modal yang tinggi selain untung yang tipis,” katanya. –UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN