GrakChat setanding aplikasi pemesejan luar negara - Utusan Malaysia

GrakChat setanding aplikasi pemesejan luar negara

MOHD. Yusni Ismail (dua kanan) menunjukkan dokumen perjanjian MoU dengan Rapid Cloud Sdn Bhd dan Finexus Cards Sdn Bhd pada majlis prapelancaran GrakChat di Putrajaya. -UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Syarikat Grak Networks Sdn. Bhd. (GrakChat) membuktikan keupayaan anak tempatan apabila melancarkan aplikasi GrakChat iaitu aplikasi pemesejan pelbagai guna.

Lebih menarik, GrakChat menawarkan perkhidmatan ‘group chat’ yang boleh disertai seramai 50,000 ahli bagi setiap kumpulan.

Pengerusi dan Pengasas Bersama GrakChat, Mohd. Yusni Ismail berkata, pihaknya menyasarkan sejuta ahli yang memuat turun aplikasi itu menjelang akhir tahun ini.

Beliau berkata, seperti aplikasi lain, GrakChat menyediakan semua keperluan ciri pemesejan seperti panggilan suara, menghantar dan menerima mesej, gambar, video, rakaman suara dan kemudahan video secara percuma.

“Berbeza dengan aplikasi lain, GrakChat menawarkan perkhidmatan saluran interaktif yang membantu ahli membina komuniti yang hebat.

“Saluran interaktif ini boleh digunakan untuk menyiarkan maklumat terus kepada penerima yang disasarkan tanpa had,” katanya dalam majlis prapelancaran GrakChat di sini, hari ini.

Katanya, GrakChat menggunakan teknologi SSL Encryption dan ia kini tersedia untuk dimuat turun melalui Google Play Store bagi pengguna android selain melalui Apple Store sekitar bulan depan.

Mohd Yusni berkata, GrakChat dihasilkan dengan kepakaran anak tempatan sejak dua tahun lalu dan ia setanding dengan penyedia pemesejan lain di pasaran.

Menurutnya, pihaknya turut merancang untuk meningkatkan keupayaan aplikasi itu dengan menggabungkan perkhidmatan pemesejan pelbagai guna dan platform e-dagang dalam satu platform.

“Platform ini membolehkan pelanggan dan peniaga atau penyedia perkhidmatan atas talian berinteraksi melalui GrakChat.

“GrakChat dilaksanakan dua fasa iaitu perkhidmatan digital pemesejan dan menawarkan khidmat e-dagang yang disokong kemudahan bayaran atas talian,” katanya.

Katanya, pihaknya berharap aplikasi ini akan merancakkan lagi pertumbuhan ekonomi digital negara selain mengurangkan kebergantungan kepada platform pemesejan daripada negara luar. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN