Golongan muda bukan Melayu digesa sertai pasukan beruniform - Utusan Malaysia

Golongan muda bukan Melayu digesa sertai pasukan beruniform

S. Megalavathi (kanan) menunjukkan pingat Jasa Pahlawan Negara yang diterima suaminya yang merupakan bekas polis sempena majlis Istiadat Penganugerahan Pingat Jasa Pahlawan Negara Kontinjen Johor siri 2/2022 di IPK, Johor Bahru disini.-UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Seorang penerima Pingat Jasa Pahlawan Negara, G. Narynen, 66, menggesa golongan muda khususnya  bukan kaum Melayu untuk menjadikan pasukan beruniform sebagai pilihan kerjaya.

Bekas anggota Pasukan 69 Komando (VAT 69) Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu berkata, keputusannya menyertai pasukan itu telah berjaya membentuk jati dirinya dan keluarga.

Bapa kepada tiga orang anak itu menyertai pasukan polis pada tahun 1977 ketika berusia 21 sebelum menyertai pasukan komando VAT 69.

“Saya masuk polis kerana memang minat dengan pasukan beruniform sejak kecil walaupun tiada sesiapa dalam keluarga saya yang menjadi polis, namun mereka semua menyokong saya.

“Antara pengalaman manis adalah ketika awal tahun 1980-an apabila saya antara yang terlibat dengan penentangan komunis di hutan-hutan seluruh negara sebagai pakar bom.

“Kami bergerak dalam sebuah pasukan kecil seramai enam orang untuk melakukan kerja-kerja yang perlu demi kesejahteraan dan keselamatan masyarakat Malaysia ketika itu,” katanya yang menjawat jawatan terakhir sebagai Koperal di Ulu Kinta, Perak.

Narynen yang berasal dari Muar menamatkan kerjaya dalam pasukan berkenaan pada tahun 1989 untuk menyambung pengajiannya menyeru lebih ramai generasi muda, khususnya bukan kaum Melayu untuk menyertai pasukan beruniform.

“Jangan lihat pasukan beruniform ini dengan pandangan perkauman sempit, sebaliknya jadikan ia platform yang mengeratkan hubungan persaudaraan sesama kaum yang terdapat dalam negara. Saya sendiri sepanjang menjadi anggota polis, hubungan dengan rakan-rakan sangat akrab, selain memupuk semangat patriotik, karier ini juga memupuk semangat persaudaraan berbilang kaum.

“Jadi, kepada orang muda khususnya kaum India, jadikan ini sebagai satu platform untuk meningkatkan kemahiran dan moral diri di samping turut berkhidmat kepada negara,” katanya yang ditemani isterinya, S. Megalavathi.

Seorang lagi penerima Pingat Jasa Pahlawan Negara, Aidah Abd Rahman, 57, pula menasihatkan wanita yang mahu menyertai pasukan polis supaya membuat persiapan mental dan fizikal sebelum berbuat demikian.

Ini kerana, katanya, ramai dalam kalangan rekrut wanita membuat keputusan untuk keluar daripada pasukan beruniform berkenaan hanya dalam tempoh enam bulan pertama kerana tidak mempunyai ketahanan fizikal.

“Wanita ini saya lihat ramai yang minat untuk menjadi anggota polis, lebih lagi selepas melihat rancangan televisyen seperti Gerak Khas, tetapi mereka tidak bersedia daripada segi mental dan fizikal. Ingin jadi polis, perlu siapkan diri.

“Polis ini boleh mengajar kita membentuk jati diri dan berdisiplin yang secara tidak langsung sifat itu turut terpakai dalam urusan seharian kita,” katanya yang menjawat jawatan terakhir sebagai Sub Inspektor di Maktab Teknik PDRM Bakri, Muar.

Keluarga Aidah memang  ‘berdarah biru’ kerana suami dan anaknya turut menyertai pasukan keselamatan tersebut.

“Suami saya, Asisten Komisioner Md. Khair Othman masih bertugas di Maktab Teknik PDRM Bakri, Muar, manakala anak lelaki juga Inspektor di Bukit Aman dengan isterinya juga seorang polis.

“Selain itu, abang saya seorang Deputi Komisioner dan adik ipar saya Asisten Superintenden, arwah bapa saya juga merupakan seorang Sarjan bersara,” katanya yang telah berkhidmat selama 34 tahun dalam pasukan PDRM sejak 1987 sebelum bersara pilihan pada tahun lalu.

Sementara itu, Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat memberitahu, seramai 168 pesara polis dari seluruh negeri ini dikurniakan pingat berkenaan hari ini, menjadikan keseluruhan seramai 2,998 pesara polis telah dianugerahkan pingat berkenaan bagi Kontinjen Johor.

“Kontinjen Johor masih mempunyai seramai 543 pesara yang layak untuk dianugerahkan pingat dan akan disampaikan secara berperingkat-peringkat,” katanya. –UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya