Ekonomi negara kekal pulih di sebalik tekanan inflasi global

Ekonomi negara kekal pulih di sebalik tekanan inflasi global

ISMAIL Sabri Yaakob bersama kepemimpinan dan penyokong BN selepas merasmikan Konvensyen BN Selangor di Shah Alam, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Sektor jualan borong dan runcit mencatatkan rekod baharu pada Mei iaitu RM129.8 bilion lebih tinggi berbanding 2013 menandakan negara berada pada landasan pemulihan ekonomi walaupun berdepan tekanan inflasi global.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, malah, kadar inflasi negara juga dilaporkan jauh lebih rendah iaitu 3.4 peratus berbanding tekanan dihadapi di Eropah iaitu 8.6 peratus pada Jun 2022 dan Amerika Syarikat pula 9.1 peratus meningkat berbanding Mei tahun ini (8.6).

Katanya, tekanan sama turut dihadapi negara-negara jiran seperti Thailand iaitu 7.7 peratus, Filipina (6.1) dan Indonesia (4.4), sementara negara kuasa ekonomi di Asia seperti Korea Selatan pula mencatatkan inflasi pada kadar 6.1 peratus.

“Ekonomi negara semakin pulih yang disumbang oleh kestabilan politik menerusi memorandum persefahaman (MOU) antara kerajaan dan pembangkang.

“Dengan MoU tersebut, keadaan negara menjadi stabil dan kita boleh fokus untuk pulihkan ekonomi. Menurut kajian Forum ekonomi Dunia, Malaysia adalah negara kedua terbaik di rantau Asia Tenggara dalam indeks daya saing dan berada di tangga ke-32 dunia.

“Dunia menilai Malaysia lebih baik disebabkan kita mempunyai asas yang kuat. Kita seperti menolak penilaian dunia terhadap kita sehingga menyebabkan kita terlalu banyak menghabiskan masa memikir dan membincang yang buruk dan tidak baik hingga kita lupa dan tidak percaya dengan kekuatan sendiri,” katanya ketika berucap dalam perasmian Konvensyen Barisan Nasional (BN) Selangor di sini, hari ini.

Beliau yang juga Naib Presiden UMNO menambah, menerusi MOU yang menstabilkan politik juga, kerajaan melaksanakan tiga agenda utama termasuk mentransformasi Parlimen supaya menepati keperluan semasa negara.

Ismail Sabri menjelaskan, kestabilan politik penting dan kerajaan mencapai persetujuan bersama pembangkang tanpa melibatkan dasar.

“Fokus adalah transformasi Parlimen seperti RUU Pindaan Perlembagaan lompat parti dan sebulat suara bersetuju untuk meluluskannya. Kedua, kita bersetuju untuk membentang pendanaan politik yang digunakan untuk pilihan raya. 

“Jadi kali ini kita akan membetulkan perkara ini dan kita akan memperkenalkan Akta Pendanaan Politik. Akta ini sedang dalam kajian di bawah Menteri Undang-Undang. Ketiga, Parlimen diberi kuasa untuk mentadbir parlimen dengan pengasingan kuasa diberikan. 

“Pengasingan kuasa ini bermakna mereka bebas untuk membuat keputusan tanpa campur tangan sesiapa,” jelasnya.

Justeru, beliau menyeru rakyat meletak keyakinan kepadanya dan kerajaan agar sentiasa dilihat bersih. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya