Dulu jana RM4,000 sebulan, kini penoreh getah, jaga kebun durian - Utusan Malaysia

Dulu jana RM4,000 sebulan, kini penoreh getah, jaga kebun durian

DERETAN puluhan kedai usang yang tidak beroperasi di kawasan belakang Arked Pekan Sehari Wang Kelian, Padang Besar, Perlis, baru-baru ini..- UTUSAN/SYED AZLAN SAYID HIZAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADANG BESAR: Jika sebelum ini aktiviti perniagaan Zon Aliran Bebas Wang Kelian mampu memberi pulangan tinggi kepada peniaga, kini kebanyakan mereka terpaksa beralih kepada kerja lain termasuk kembali semula menoreh getah setelah ditutup sejak tujuh tahun lalu.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, seorang penduduk Kampung Wang Kelian Hilir, Zulzulina Othman, 38, berkata, dia bersama ibunya yang menjalankan perniagaan makanan meraih pendapatan sehingga RM1,000 dalam tempoh dua hari terutama pada Sabtu dan Ahad.

Dalam sebulan katanya, mereka boleh menjana pendapatan sehingga RM4,000 sekali gus cukup menampung kehidupan keluarga dengan lebih selesa.

“Ketika itu, pendapatan kami sangat mencukupi bagi menyara kami adik-beradik, namun penutupan kawasan perdagangan bebas itu tujuh tahun lalu telah mengubah corak kehidupan kami serta penduduk di sini.

“Selepas zon aliran bebas ditutup, ibu kembali menjadi penoreh getah, manakala saya pula melakukan pelbagai kerja bagi menyara hidup keluarga termasuklah kini mengambil upah menjaga kebun durian,” katanya,

Pada Disember lalu, Utusan Malaysia pernah melaporkan rintihan penduduk Wang Kelian yang mahu Zon Aliran Bebas di sini diaktifkan semula bagi menjana pendapatan serta meningkatkan taraf hidup mereka.

Pada Mei lalu, kerajaan negeri juga memohon kepada kerajaan Pusat agar mempertimbang untuk membuka semula Zon Aliran Bebas (free flow) di pintu sempadan Malaysia-Thailand di Wang Kelian bagi membangunkan semula ekonomi di kawasan tersebut.

Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man berkata, Wang Kelian sudah menjadi pekan mati sejak ‘free flow’ tersebut dimansuhkan manakala Wang Prachan di sebelah Thailand pula semakin rancak membangun.

Selain kerajaan negeri kata Azlan, pihak istana juga sudah beberapa kali menyuarakan cadangan sama bukan sahaja kepada kementerian terbabit, malah kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Sementara itu, Zulzarina berkata, selain menanti keputusan positif daripada kerajaan pusat, penduduk juga mahu kerajaan negeri memberi mereka peluang membuka kawasan perniagaan sementara berdekatan kawasan sempadan seperti nat atau pasar sehari.

Katanya, ramai pelancong dari Wang Kelian View Point turun hingga ke Pos Imigresen Wang Kelian namun berpatah balik atau terus melangkaui sempadan ke Pasar Minggu Sempadan Malaysia-Thailand di Wang Prachan.

“Sekiranya wujud lot perniagaan sementara seperti itu, ia sedikit sebanyak boleh membantu penduduk menjana pendapatan tambahan,” katanya. –UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya