GUA MUSANG: Seorang wanita maut selepas kenderaan utiliti sukan (SUV) Honda CR-V yang dipandu anaknya bertembung dengan sebuah kereta di Kilometer 75 Jalan Gua Musang-Kuala Krai di sini, awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 1 pagi itu, mangsa, Maimunah Mohamed, 55, maut dilokasi selepas mengalami kecederaan pada bahagian kepala.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, siasatan awal mendapati, semasa kejadian mangsa bersama suami serta anak lelakinya yang menaiki SUV jenis Honda CR-V dalam perjalanan dari Gua Musang ke Kuala Krai.
Menurutnya, setiba di lokasi pemandu SUV dipercayai cuba mengelak sebuah kereta yang memotong dari arah bertentangan.
“Anak mangsa berusia 22 tahun yang memandu SUV cuba mengelak ke bahu jalan sebelah kiri dan cuba kembali untuk masuk ke laluan asal, tetapi telah hilang kawalan.
“Akibat kejadian itu, SUV dipandu anak mangsa telah masuk ke laluan bertentangan dan bertembung dengan sebuah kereta jenis Volkswagen Golf,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Choon Foo memberitahu, pelanggaran itu menyebabkan penumpang hadapan SUV Honda CR-V maut di tempat kejadian.
Katanya, penumpang belakang SUV dan pemandu Volkswagen Golf mengalami kecederaan dikejarkan ke Hospital Sultan Ismail Petra, Kuala Krai untuk rawatan.
“Mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik Perubatan Hospital Gua Musang untuk dibedah siasat. Siasatan lanjut masih dijalankan dan kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.-UTUSAN










