Dewan Rakyat lulus RUU Kehadiran Wajib Pesalah-Pesalah (Pindaan) 2021 - Utusan Malaysia

Dewan Rakyat lulus RUU Kehadiran Wajib Pesalah-Pesalah (Pindaan) 2021

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Dewan Rakyat hari ini meluluskan Rang Undang-undang (RUU) Kehadiran Wajib Pesalah-Pesalah (Pindaan) 2021.

Ia selepas bacaan kali ketiga oleh Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ismail Mohamed Said dan dibahas empat Ahli Parlimen.

Ismail menjelaskan, RUU itu  bertujuan meminda Akta Kehadiran Wajib Pesalah-Pesalah 1954 (Akta 461) dan menggantikan Ordinan Darurat (Kehadiran Wajib Pesalah-Pesalah) (Pindaan) 2021 (ODPKW).

Dalam hal ini, katanya, bagi memberi peluang kedua kepada pesalah yang menjalani hukuman serta pemulihan di luar penjara.

Menurut Ismail, Akta 461 wajar diperkukuhkan selaras dengan perubahan sistem perundangan daripada ‘keadilan pembalasan’ kepada ‘keadilan pemulihan’.

“Pesalah juga boleh meneruskan kehidupan harian tanpa menjejaskan kebajikan mereka dan keluarga semasa menjalani Perintah Kehadiran Wajib (PKW) ini. Selain itu, ia juga dapat mengurangkan kesesakan dalam penjara serta mengelak penularan penyakit berjangkit dalam penjara,” katanya ketika menggulung perbahasan rang undang-undang berkenaan. 

Selain itu, tambah Ismail,  pindaan Seksyen 5 Akta 461 memberikan budi bicara kepada hakim dalam menentukan hukuman PKW dengan mengambil kira latar belakang Orang Kena Tuduh (OKT) dan keadaan kesalahan itu dilakukan.

Katanya, pindaan berkenaan akan memberikan mahkamah kuasa untuk membuat suatu PKW terhadap mana-mana pesalah yang disabitkan dengan apa-apa kesalahan yang boleh dikenakan hukuman pemenjaraan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun.

“Menerusi pindaan setahun kepada tiga tahun pemenjaraan, ia lebih memberikan pilihan kepada mahkamah menggunakan budi bicara kehakiman untuk memberikan hukuman alternatif kepada hukuman pemenjaraan dalam kes yang mahkamah sendiri berpendapat hukuman PKW adalah satu hukuman yang tepat dan wajar kepada seorang OKT,” katanya. –UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN