JELEBU: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tidak menolak untuk menutup terus operasi premis sebuah kelab komedi di Taman Tun Dr. Ismail, Kuala Lumpur yang didapati membenarkan seorang wanita menghina Islam ketika membuat persembahan di premis berkenaan, baru-baru ini.
Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, tindakan tegas tersebut tidak mustahil diambil selepas tersebar pula video seorang lelaki yang didakwa pemilik premis tersebut yang turut dilihat memperlekehkan bangsa Melayu.
“Saya mendapat laporan berkaitan pemilik kelab yang menggunakan kelebihan sebagai pemilik kelab dan menggunakan lesen bagi premis ini dengan mempermain dan memperlekehkan bangsa Melayu.
“Ini sama sekali tidak boleh dibenarkan, saya sudah minta supaya pihak penguatkuasaan melakukan siasatan terperinci, jika didapati perkara ini benar dilakukan, tentu ia menyalahi syarat lesen yang dikeluarkan.
“Tidak mustahil untuk jawatankuasa pelesenan DBKL mengambil tindakan yang lebih tegas yang boleh membawa kepada penutupan kelab,” katanya kepada pemberita pada Program Korban Bersama Rakyat Parlimen Jelebu Peringkat DUN Pertang, Chennah 2 dan Agensi-agensi Kerajaan di Kompleks UMNO Bahagian Jelebu di Simpang Pertang di sini hari ini.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Jelebu berkata, kelab komedi tersebut dikenakan tindakan penggantungan sementara operasi premis pada 10 Julai lalu dan pemiliknya diberikan masa selama 14 hari untuk mengemukakan rayuan.
“Selepas itu, Jawatankuasa Pelesenan DBKL akan bersidang untuk meneliti dan menyiasat daripada pelbagai sudut dan juga kesalahan.
“Penggantungan boleh kami ambil sehingga tempoh maksimum 30 hari sehingga kami buat keputusan sama ada operasi restoran dan juga kelulusan hiburan boleh kami berikan kepada pemilik dan juga kelab ini boleh diteruskan ataupun tindakan selain daripada itu,” katanya.
Sementara itu, jelas Jalaluddin, DBKL mengeluarkan notis kepada premis kelab tersebut di bawah Seksyen 101(1)(V) Akta Kerajaan Tempatan 1976 dan premis berkenaan digantung operasi kerana tidak mempunyai lesen hiburan selaras dengan Seksyen 17, Akta Hiburan 1992.
“Untuk rekod, premis tersebut beroperasi tanpa lesen sejak 2014 sehingga 2017, walaupun beberapa permohonan dibuat, pengusaha premis gagal mematuhi pelbagai keperluan pada setiap permohonan.
“Pada tahun 2018, lesen premis berkenaan diluluskan dan masih sah sehingga kini iaitu untuk operasi restoran dan minuman keras. Sebaliknya, premis tersebut tidak mempunyai lesen hiburan, mana-mana pengusaha seumpama ini perlu memiliki lesen premis dan lesen hiburan terlebih dahulu sebelum beroperasi,” katanya lagi.
Tambah beliau, DBKL akan terus mempergiatkan operasi bagi mengekang aktiviti-aktiviti haram dan pelanggaran undang-undang di premis hiburan yang berada dalam Kuala Lumpur dari semasa ke semasa. –UTUSAN ONLINE










