JOHOR BAHRU: Dakwaan Pakatan Harapan (PH) bahawa cukai barang dan perkhidmatan (GST) akan menyebabkan kenaikan harga adalah tidak berasas.
Naib Presiden Kanan Parti Bangsa Malaysia (PBM), Steven Choong Shiau Yoon berkata, dakwaan itu hanya taktik politik PH untuk kekal relevan supaya orang ramai menganggap mereka sentiasa berjuang untuk rakyat.
Katanya, banyak negara melaporkan peningkatan dalam kutipan cukai pendapatan selepas pelaksanaan GST.
“Oleh itu, untuk mengurangkan beban rakyat, kadar cukai pendapatan harus dikurangkan pada masa yang sama memperkenalkan semula GST pada kadar yang boleh diterima untuk mengurangkan kesannya.
“PBM tahu bahawa negara perlu mengekalkan banyak subsidi yang diberikan pada masa ini, tetapi, itu hanya mapan jika ada pendapatan tambahan dan pengenalan semula GST adalah satu penyelesaian yang munasabah,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.
Pada 12 Jun lalu, Ketua Ahli Ekonomi, Makroekonomi, Perdagangan dan Pelaburan Bank Dunia, Dr. Apurva Sanghi dilaporkan berkata, pelaksanaan semula GST adalah lebih baik berbanding Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang dilaksanakan di Malaysia ketika ini.
Menurutnya, berdasarkan analisis awal, GST menawarkan hampir dua kali ganda pendapatan cukai kerajaan berbanding SST.
“Kami melihat GST lebih baik berbanding SST dengan lebih 170 negara di seluruh negara telah melaksanakan regim cukai tambah nilai (VAT) seperti GST.
“Ada sebab mengapa GST lebih baik daripada SST, antaranya adalah ia cukai ke atas penggunaan kerana 60 peratus ekonomi bergantung kepada penggunaan.
“Pelaksanaan cukai lebih meluas akan mengelakkan ketirisan atau pengelakan cukai yang akan meningkatkan hasil kerajaan,” katanya.
Shiau Yoon berkata, Persidangan Cukai Kebangsaan 2022 yang telah diadakan pada 21-22 Jun lalu membincangkan mengenai GST dan 65 peratus pesertanya yang terdiri daripada akauntan dan pengamal cukai mengundi supaya GST diperkenalkan semula.
Walaupun GST memberi nilai tambah dari segi pendapatan kepada kerajaan, ia turut memberi kesan kepada golongan berpendapatan rendah.
“Kekurangan utama GST ialah isi rumah berpendapatan rendah yang mempunyai banyak tanggungan akan menerima kesan yang lebih daripada isi rumah biasa.
“Hujah PH atas alasan ini boleh diatasi dengan mengecualikan barangan dan perkhidmatan asas yang menjejaskan kumpulan berpendapatan rendah atau dengan mengenakan kadar cukai yang lebih tinggi ke atas barangan dan perkhidmatan mewah yang mampu dimiliki oleh kumpulan berpendapatan tinggi,” ujarnya. –UTUSAN ONLINE