Cadang tambah struktur sabo elak banjir puing

Cadang tambah struktur sabo elak banjir puing

Kejadian kepala air di Kampung Iboi, Baling, Kedah baru-baru ini mendorong kerajaan untuk membina lebih banyak struktur sabo di kawasan berisiko tinggi di seluruh negara.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerajaan bercadang membina lebih banyak struktur sabo di seluruh negara dalam mengurangkan risiko banjir puing seperti di Baling, Kedah baru-baru ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia dibina merentasi alur sungai yang berfungsi menahan puing termasuk bongkah batuan, lumpur dan kayu-kayan.

Katanya, ia sekali gus memperlahankan aliran air serta mengurangkan impak yang dibawa arus deras terutamanya selepas hujan lebat.

“Setakat ini struktur sabo sedang dibina di Yan, Kedah dan bakal dibina di Baling serta Janda Baik, Pahang dalam tempoh terdekat,” katanya dalam satu kenyataan selepas mempengerusikan Mesyuarat Keempat Majlis Air Negara (MAN) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, di sini, semalam.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, semua kementerian dan agensi terlibat diarah meningkatkan penggunaan sumber air bawah tanah dan air hujan untuk mengurangkan kebergantungan terhadap air terawat termasuk bagi kegunaan di kawasan pedalaman, pengairan tanaman serta sistem kumbahan.

Katanya, penggunaan air bawah tanah di Malaysia ketika ini dilaporkan kurang daripada tiga peratus berbanding dengan negara lain, walaupun negara mempunyai sumber air bawah tanah berkapasiti 5,000 bilion meter padu.

“Penggunaan sumber air alternatif yang murah dan mudah didapati ini perlu diambil kira dalam pembangunan infrastruktur serta bangunan baharu sepertimana dilaksanakan di kebanyakan negara bagi menjimatkan kos penggunaan air terawat,” ujarnya.

Menurut Perdana Menteri, Kerajaan Persekutuan menyediakan peruntukan besar sebanyak RM393 bilion untuk memperkasa tadbir urus adaptasi perubahan iklim dengan tempoh pelaksanaan secara berfasa selama 50 tahun.

Daripada jumlah itu, kata beliau, sebanyak RM15 bilion diperuntukkan untuk pelaksanaan projek tebatan banjir mulai tahun 2023 sehingga 2030.

Pada mesyarat berkenaan turut bersetuju melaksanakan Pelan Transformasi Sektor Air 2040 (WST 2040) di pelbagai peringkat melalui Jawatankuasa Pemandu Kebangsaan WST2040.

Agenda Transformasi Sektor Air 2040 menzahirkan komitmen Kerajaan Persekutuan untuk membangunkan sektor air negara bagi menjamin sekuriti dan kelestarian air selain menjadikan sektor air sebagai pemangkin ekonomi negara.

Selain itu, Perkhidmatan Makmal Kualiti Air, Institut Penyelidikan Air Kebangsaan Malaysia (NAHRIM) diberikan pengiktirafan sebagai Makmal Forensik Penyelidikan Air; Makmal Kualiti Air (MKA) di NAHRIM yang akan berfungsi sebagai pusat rujukan dalam menyelidik kejadian pencemaran badan air.

Makmal ini kata Ismail Sabri, mendapat akreditasi MS ISO: IEC 17025 yang boleh menjadi alternatif kepada makmal Jabatan Kimia bagi forensik penyelidikan pencemaran air.

“MKA dilengkapi dengan fasiliti bertaraf dunia dengan kepakaran yang kompeten dan diiktiraf Institut Kimia Malaysia serta Majlis Juruanalisis Makanan Malaysia.

“Ia juga berkemampuan membuat analisa berkaitan pencemaran air merangkumi lebih 200 parameter kimia dan mikrobiologi,” katanya.

Kerajaan juga katanya, bersetuju untuk perkongsian Peta Hazard Banjir kepada awam bagi menunjukkan kawasan kebarangkalian yang boleh dinaiki air berdasarkan peta guna tanah semasa dan akan datang.

Jelas Perdana Menteri, amalan perkongsian peta hazard banjir turut dilaksanakan negara lain seperti Amerika Syarikat dan United Kingdom sekali gus membantu pihak berkepentingan dalam perancangan pembangunan seperti Rancangan Tempatan Daerah atau Rancangan Struktur Negeri serta perancangan pengurusan bencana banjir. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya