PASIR PUTEH : Kegagalan brek treler berfungsi dengan baik dipercayai menjadi punca kemalangan yang meragut nyawa seorang ibu tunggal manakala kaki anak lelakinya putus dalam kejadian di simpang empat lampu isyarat Kampung Dalam Kemunting, di sini hari ini.
Kejadian itu menyebabkan Yusni Hamid meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala anaknya Mohamad Shahrul Rizal Mohd. Azizi putus kaki kanan.
Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Superintendan Zaizul Rizal Zakaria berkata, siasatan awal mendapati treler yang dipandu lelaki berusia 44 tahun dari Kuala Terengganu ke Kota Bharu mengalami masalah brek.
Menurutnya, situasi itu menyebabkan pemandu treler berkenaan cuba mengelak ke kiri tetapi gagal sebelum terbabas.
“Ekoran itu, muatan besi yang berada di atas treler tersebut telah jatuh ke atas penunggang motosikal, pemandu kereta dan penunggang basikal yang sedang berhenti di laluan bersebelahan.
“Ujian saringan air kencing yang dijalankan mendapati pemandu treler berkenaan negatif dadah. Siasatan lanjut masih diteruskan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Zaizul Rizal memberitahu, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan berbahaya hingga menyebabkan kematian.
Katanya, pemandu lori tersebut yang mengalami patah tulang belakang kini mendapat rawatan lanjut di Hospital Tengku Anis (HTA) Pasir Puteh. – UTUSAN










