Bot nelayan tempatan ditahan tangkap ikan di kawasan larangan - Utusan Malaysia

Bot nelayan tempatan ditahan tangkap ikan di kawasan larangan

BOT nelayan tempatan kelas C yang ditahan kerana menangkap ikan di luar kawasan yang dibenarkan di perairan Langkawi, di sini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LANGKAWI: Sebuah bot nelayan tempatan dengan lima orang kru termasuk tekong ditahan kerana menangkap ikan di kawasan yang tidak dibenarkan, malam tadi.

Bot nelayan tempatan kelas C itu ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Kedah dan Perlis di kedudukan 2.4 batu nautika barat daya Pulau Puchong, pada pukul 10.45 malam.

Timbalan Pengarah Operasi Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Kapten Maritim Saliza Ahmad berkata, bot tersebut sedang melakukan aktiviti menangkap ikan semasa ditahan oleh bot ronda Maritim Malaysia yang melakukan rondaan rutin.

“Hasil pemeriksaan mendapati, bot terbabit dikendalikan oleh tekong bersama empat awak-awak iaitu dua warga Thailand dan dua lagi adalah warga tempatan.

“Bot itu disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat sah lesen dengan menunda ikan di kawasan yang tidak dibenarkan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Selain kelima-lima individu itu, Maritim Malaysia turut merampas sebanyak 150 kilogram (kg) hasil tangkapan mereka.

Kesemua tahanan dan barang rampasan dibawa ke Jeti Maritim Bukit Malut, di sini untuk siasatan lanjut. –UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN