KUANTAN: Pembinaan semula rumah pahlawan Melayu Pahang, Mat Kilau perlu melalui kajian terperinci khususnya dalam mengenal pasti tapak sesuai.
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, cadangan itu perlu dinilai dengan teliti dan berhati-hati.
“Kita sedang fikirkan (cadangan bina semula rumah) sebab kita tidak boleh buat keputusan terburu-buru sebab Mat Kilau, semasa hampir meninggal dunia beliau berpindah ke Kuantan.
“Rasanya di Jalan Gambang daripada rumah abangnya. Jadi, kita kena pilih yang mana satu (lokasi) betul-betul sesuai dan tepat.
“Berkemungkinan kita mungkin boleh bekerjasama dengan penerbit filem itu (Studio Kembara) kerana mereka pun sudah mengaut keuntungan tinggi… mungkin kita boleh berkongsi atau suruh mereka bina,” katanya dalam sidang akhbar pada majlis penyerahan surat lantikan program ‘Pahang Talent’ di sini hari ini.
Susulan kejayaan filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan terbitan Studio Kembara, terdapat cadangan membina semula rumah tokoh pahlawan Pahang tersebut.
Terdahulu, seorang waris pahlawan itu menyatakan persetujuan dengan cadangan membina sebuah galeri tokoh pahlawan itu di Kuantan sebagai tempat rujukan.
Sebelum ini pelakon dan pengarah terkenal, Syamsul Yusof, menzahirkan kesyukuran apabila filem arahannya itu berjaya meraih kutipan sebanyak sejuta ringgit, pada hari pertama tayangan filem tersebut.
Perkara tersebut dikongsikan pelakon filem popular Munafik itu menerusi satu hantaran terbaharu di entri Instagram miliknya.
Sekali gus, filem ini memecahkan rekod sebagai filem epik pertama yang berjaya memperoleh kutipan tertinggi dalam sejarah perfileman tempatan.“Izin Allah.
Maka dengan ini, Mat Kilau menjadi filem epik pertama Malaysia memecahkan rekod pembukaan sebagai ‘Filem epik Melayu kutipan paling tinggi dalam sejarah’.
“Mat Kilau – Kebangkitan Pahlawan. Satu juta dalam masa satu hari sahaja!” tulisnya. –UM










