fbpx

Bank Islam lancar Be U, bank digital teknologi awan pertama

Mohd. Muazzam Mohamed

PETALING JAYA: Bank Islam Malaysia Berhad melancarkan Be U, sebuah bank digital berasaskan teknologi awan sepenuhnya yang pertama di Malaysia. 

Penyelesaian natif awan itu dijangka menjadi batu asas kepada semua bank digital akan datang di negara ini.

Aplikasi perbankan serba baharu itu membolehkan pengguna menyempurnakan transaksi perbankan mereka dengan lancar tanpa perlu mengunjungi cawangan Bank Islam, selain berperanan untuk memperluaskan lagi rangkuman kewangan dengan menyasarkan kepada golongan muda dan celik digital. 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Mohd. Muazzam Mohamed berkata, Be U adalah pencetus perubahan bagi Bank Islam dan industri perbankan Islam. 

Ujarnya, ia adalah produk yang berhasrat untuk reka bentuk semula dan memangkin pertumbuhan masa depan bank ini dengan memanfaatkan landskap teknologi kewangan (fintech) yang pesat berubah, sekali gus membolehkan pelanggan mengakses penyelesaian kewangan yang berpatutan dan mudah digunakan.

“Melalui Be U, Bank Islam beralih fokus daripada mementingkan produk kepada sifat mengutamakan pelanggan dalam membentuk produk yang memenuhi keperluan mereka. 

“Usaha ini sejajar dengan pelan strategik perniagaan lima tahun Bank Islam (LEAP25) yang bermatlamat untuk meletakkan bank ini sebagai peneraju penyelesaian kewangan Syariah-ESG lengkap dengan kepimpinan dalam perbankan digital dan kewangan sosial menjelang tahun 2025,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, setelah mengambil pendekatan yang holistik untuk memenuhi keperluan pelanggan, bank telah mereka bentuk asas tawaran bank digital baharu ini supaya berbeza dan saling melengkapi dengan produk-produk dan perkhidmatannya yang sememangnya tersedia di pasaran. 

“Be U disasarkan kepada generasi muda, menawarkan akaun simpanan yang membenarkan baki sifar, fungsi pindahan dana dan ciri Nest yang membantu pengguna menabung untuk matlamat tertentu.

“Fungsi atau tawaran baharu dalam aplikasi Be U akan diperkenalkan secara berperingkat dalam tempoh 12 bulan akan datang. Ia termasuk deposit bertempoh, pasaran gig, kad debit, pengurusan kewangan peribadi, pembiayaan mikro dan takaful mikro.

Berpangkalan di awan Amazon Web Service (AWS), Be U menggunakan Mambu Digital Core sebagai tulang belakang teknologinya. 

Tanpa sebarang isu legasi akan membolehkan Be U memenuhi keperluan pelanggan dengan cepat. Menerusi kelebihan berasaskan awan, pengguna Be U boleh mendapat manfaat daripada ketangkasan aplikasi dan menikmati pengalaman perbankan peribadi yang mesra pengguna dan bersesuaian dengan keperluan mereka.

Mohd Muazzam menjelaskan, Be U memfokuskan kepada segmen pelanggan yang tidak menjadi tumpuan oleh Bank Islam iaitu menarik golongan pengguna yang masih di peringkat awal kehidupan bekerja mereka. 

“Apabila kedudukan kewangan pelanggan ini lebih stabil dan mereka memerlukan produk dan instrumen kewangan yang lebih kompleks, Be U akan berada bersama mereka dan menawarkan pelbagai produk dan perkhidmatan Bank Islam,” ujarnya.

Aplikasi tersebut tersedia kepada orang ramai sejak pertengahan Jun tahun ini, Bank Islam menyasarkan antara 350,000 dan 400,000 muat turun dan pengguna aplikasi Be U dalam tempoh 12 bulan pertama operasinya.

Tanpa melibatkan sebarang caj untuk membuka akaun Be U melalui platform tersebut, pengguna boleh memuat turun aplikasi Be U Bank Islam secara percuma melalui Google Play Store dan Apple App Store. – UTUSAN

BERITA BERKAITAN

Menarik di Kosmo!