PETALING JAYA: Panel Antara Kerajaan mengenai Perubahan Iklim (IPCC) mengunjurkan penurunan jumlah waktu bekerja di seluruh dunia menjelang 2030, berikutan kesan perubahan iklim yang menjejaskan pertumbuhan produktiviti buruh.
Laporan terkini Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) menganggarkan lebih 70 peratus tenaga kerja global menghadapi potensi pendedahan kepada bahaya kesihatan berkaitan iklim.
Risiko perubahan iklim yang membabitkan kesihatan pekerja termasuk tekanan haba melampau, kualiti udara tercemar, dan keadaan cuaca yang tidak stabil dan kerap berlaku.
Pengarah Perubatan Global, Perkhidmatan Kesihatan Pekerjaan Antarabangsa SOS, Dr. OlivIer Lo berkata, ancaman perubahan iklim memerlukan tumpuan lebih tinggi untuk menguruskan pendedahan risiko dan impak terhadap kesihatan tenaga kerja.
Menurutnya, terdapat peningkatan sebanyak 80 peratus berkenaan dengan maklumat perubatan berkaitan iklim sepanjang majoriti 2023 berbanding 2022.
“Dalam laporan Tinjauan Risiko SOS Antarabangsa 2024 pula, empat daripada lima risiko kesihatan teratas yang dikenal pasti oleh responden adalah berkaitan dengan faktor iklim atau cuaca.
“Justeru, adalah penting bagi organisasi untuk mengakui kesan gabungannya dengan ancaman OSH sedia ada ekoran perubahan iklim yang semakin mendesak,” katanya dalam kenyataan.
Jelasnya, kejadian cuaca ekstrem dan bencana berkaitan iklim menimbulkan ancaman yang semakin meningkat kepada kesihatan mental dan kesejahteraan psikososial.
“Keadaan ini boleh mencetuskan pelbagai tindak balas emosi, termasuk kesusahan, kebimbangan, kemurungan, kesedihan, dan juga tingkah laku membunuh diri,” jelasnya.
Sehubungan itu, Olivier berkata, organisasi harus mentakrifkan semula keselamatan dan kesihatan tenaga kerja dengan melaksanakan pendekatan holistik untuk kesejahteraan tenaga kerja.
“Penilaian dan penyesuaian yang kerap adalah kunci untuk memastikan keselamatan tenaga kerja dalam landskap yang semakin berkembang ini.
“Dengan mengurus risiko OSH secara proaktif, organisasi bukan sahaja boleh mewujudkan persekitaran kerja yang positif, tetapi juga menyumbang kepada masa depan yang lebih mampan,” ujarnya.
Tambahnya, Ini termasuk sokongan kesejahteraan mental dan emosi, pengurusan penyakit kronik dan penjagaan kesihatan pencegahan.
Bersempena Hari Keselamatan dan Kesihatan Sedunia di Tempat Kerja pada 28 April, International SOS menggalakkan organisasi menilai semula program keselamatan dan kesihatan pekerjaan (OSH) mereka. – UTUSAN










