PUTRAJAYA: Bakal jemaah haji yang terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) semalam digesa membuat laporan polis dan memajukan tuntutan tebus rugi kepada Tribunal Tuntuan Pengguna Malaysia (TTPM).
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menerusi kenyataan berkata, bakal jemaah haji terbabit boleh membuat tuntutan tebus rugi bagi amaun tidak melebihi RM50,000 kepada TTPM di mana-mana pejabat KPDNHEP seluruh negara, manakala tuntutan melebihi RM50,000 boleh difailkan ke Mahkamah Sivil.
“Semua tuntutan hendaklah disertakan dengan bahan bukti yang lengkap termasuk iklan, resit bayaran, segala transaksi termasuk rekod perhubungan antara bakal haji dengan syarikat agensi haji tersebut.
“Tindakan segera dari bakal haji sangat penting supaya tiada lagi syarikat agensi haji dan umrah sewenang-wenangnya mengambil kesempatan untuk memperdaya atau tidak memenuhi tanggungjawab mereka terhadap bakal haji dan umrah di Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam masa sama, KPDNHEP turut menyeru supaya syarikat terbabit mengadakan perbincangan dan berunding dengan segera bersama semua bakal haji yang terkandas supaya jalan penyelesaian murni dapat dicapai demi kepentingan kedua-dua belah pihak terutamanya pengguna.
KPDNHEP berkata, pihaknya memandang serius isu tersebut yang sering berlaku setiap musim haji sekali gus menunjukkan ketidakpekaan masyarakat terhadap kewujudan mereka yang mengambil kesempatan untuk memperdayakan pengguna.
Katanya lagi, bakal jemaah haji terbabit yang ingin mengetahui lebih lanjut berkaitan tuntutan tebus rugi dan TTPM boleh menghubungi hotline TTPM di 1 800 88 9811 atau 03-8882 5822 atau e-mel kepada [email protected].
Terdahulu, media melaporkan, hasrat lebih 380 jemaah haji menunaikan rukun Islam kelima di Tanah Suci tidak kesampaian apabila mereka terkandas di KLIA malam tadi dipercayai menjadi mangsa penipuan sebuah agensi pelancongan.
Difahamkan kesemua bakal jemaah itu yang datang daripada seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak gagal berlepas ke Tanah Suci selepas tidak mempunyai dokumen perjalanan lengkap seperti visa dan passport. –UTUSAN ONLINE










