GUA MUSANG: Mana bandar perabot seperti dijanjikan?
Persoalan inilah yang dibangkitkan belia daerah ini yang menuntut janji yang didakwa dibuat oleh kerajaan negeri yang mahu mewujudkan lebih 1,500 peluang pekerjaan kepada mereka melalui pelaksanaan projek bandar perabot.
Mereka mendakwa, projek tersebut setakat ini masih belum menunjukkan perkembangan sejak perasmian pecah tanah bagi pembinaan bandar perabot dilakukan pada 10 September 2020.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, graduan universiti awam, Mohd. Nazri Asri, 24, berkata, kerajaan negeri perlu menjelaskan situasi semasa dan perkembangan terkini projek itu bagi mengelakkan lebih ramai anak-anak muda di daerah ini daripada berhijrah ke bandar untuk mencari pekerjaan.
Katanya, selaku anak tempatan dia amat mengharapkan pembinaan projek itu dapat disegerakan bagi membolehkannya mencari rezeki di tempat sendiri.
“Kami terkilan adakah kerajaan negeri hanya memberi janji kosong atau sekadar janji manis yang tiada kesudahannya.
“Kita tahu kewujudan bandar perabot ini akan banyak memberi peluang pekerjaan terutamanya kepada anak-anak muda di Gua Musang yang masih ramai menganggur selepas menamatkan pengajian di universiti,” katanya.
Seorang lagi pelajar, Anis Syafira Razae, 23, berkata, golongan belia di kawasan berkenaan memerlukan peluang pekerjaan untuk meneruskan kelangsungan hidup.
Katanya, dia dan rakan-rakan masih ternanti peluang pekerjaan yang dijanjikan.
“Jika projek itu berjalan mengikut jual saya yakin ia mampu membuka peluang pekerjaan yang lebih luas,” ujarnya.
Sebelum ini, status pembinaan projek mega itu pernah dibangkitkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, Mohd. Syahbuddin Hashim dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan pada Mac lalu.
Menurut Mohd. Syahbuddin, sebelum ini kerajaan negeri mengatakan projek itu masih berjalan.
Katanya, dia berharap agar bandar perabot itu dapat dimulakan secepat mungkin.
“Kita menuntut janji 1,500 peluang pekerjaan untuk membangun dan menjamin kehidupan yang lebih baik kepada golongan belia di Gua Musang.
“Bukan hanya Bandar Perabot tetapi juga sebuah kilang simen antara yang terbesar dalam negara sehingga hari ini juga masih lagi belum berjalan,” katanya. –UTUSAN ONLINE









