IPOH: Persaudaraan berlandaskan Islam bukan sekadar mengeratkan hubungan silaturahim, namun merangkumi kesedaran untuk menjamin keadilan dan keharmonian serta memelihara hak orang lain.
Justeru, menurut teks khutbah Aidiladha dikeluarkan Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) hari ini menegaskan sistem sosial Islam dibina dengan melarang penindasan, seperti pengharaman riba, mengharamkan rasuah, larangan menipu, serta perintah memelihara hak orang lain.
Dalam teks bertajuk ‘Aidiladha: Eratkan Persaudaraan Sesama Ummah – Bina Ukhuwah Sesama Insan’ itu, memetik pesanan Nabi Muhammad SAW yang menyatakan darah dan harta benda manusia adalah sesuatu yang mulia manakala kehormatan diri terpelihara sehingga dipertemukan dengan Penciptanya.
“Rasulullah bersabda, ‘kehormatan diri kalian terpelihara (haram bagi orang lain) sampai kalian menemui Tuhan, dan suci sebagaimana sucinya hari ini (hari Arafah), sebagaimana sucinya bulan ini (Zulhijjah), dan seperti sucinya negeri ini (bumi Mekah) dan sekitarnya.
“Sesiapa yang memegang amanah dalam kalangan manusia, maka dia hendaklah mengembalikan amanah itu kepada pemiliknya yang berhak,'” jelas teks tersebut.
Menurut teks itu, pesanan Rasulullah yang disabdakan di Padang Arafah pada tahun 10 Hijrah telah 1,433 tahun berlalu, namun wajib dihayati dan dijadikan panduan, agar ummah yang semakin terpesong dan terus berselisih, kembali merapatkan saf, menyatukan hati, lalu melakukan tindakan-tindakan bermanfaat untuk memajukan
ummah.
Selain itu, teks itu menyeru agar persaudaraan ummah yang ditonjolkan dapat mengembalikan penghormatan kepada Islam dengan melakukan yang makruf, menegakkan kebenaran serta melaksanakan keadilan.
Pada masa sama, persaudaraan berlandaskan Islam dapat memastikan ummah tidak terpesong di bawah pengaruh orang-orang munafik yang bijak bersandiwara, bersifat bermuka-muka, pepat di luar – rencong di dalam, menanam tebu di bibir mulut, lantas meracuni fikiran hingga menggelincirkan akidah ummah.
Menurut teks itu, umat Islam perlu menyambut Aidiladha dengan sifat kesyukuran, memperbanyakkan lafaz takbir membesarkan Allah sepanjang hari ini dan pada hari-hari Tasyrik.
Masyarakat Islam juga digalakkan menziarahi saudara mereka yang tua terutama dalam kalangan mereka yang telah uzur, melayani anak-anak yatim serta menggembirakan hati orang-orang miskin dan daif dengan cara menghulurkan sedekah.
“Melalui ibadah haji, makhluk ciptaan Ilahi dari serata penjuru alam yang pelbagai rupa dan sifatnya dipertemukan, maka ibadah haji hendaklah dijadikan iktibar untuk ummah mencari titik-titik pertemuan, meskipun berbeza pendapat atau berlainan mazhab, kaum, budaya dan fahaman politik.
“Bina ukhuwah sesama insan meskipun berlainan agama dan fahaman selaras dengan ayat 8 surah Mumtahanah dalam al-Quran bermaksud ‘Allah tidak melarang kamu berbuat baik dan berlaku adil terhadap orang yang tidak memerangi mu dalam urusan agama dan tidak mengusir kamu dari kampung halaman mu; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil,” ujar teks tersebut. – UTUSAN ONLINE










