Ahmad Shahrul yang menderita kaki bengkak meninggal dunia - Utusan Malaysia

Ahmad Shahrul yang menderita kaki bengkak meninggal dunia

ALLAHYARHAM Ahmad Shahrul Nizam menerima kunjungan wartawan Utusan Malaysia baru-baru ini dekat rumahnya di Kampung Nelayan, Pelabuhan Klang di Klang, Selangor. - UTUSAN / ABDUL RAZAK IDRIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Pesakit kaki bengkak atau edema, Ahmad Shahrul Nizam menghembuskan nafas terakhir pada 7.10 pagi semalam ketika mendapat rawatan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di sini.

Berita itu dimaklumkan anak allahyarham, Siti Nur Syafinaz, 30, yang memaklumkan Ahmad Shahrul, 54, sepatutnya mendapat rawatan di Hospital Putrajaya hari ini untuk merawat penyakit yang dihidapinya itu.

“Ayah pergi dengan tenang pada pukul 7.10 pagi. Emak saya ingatkan ayah sedang tidur.

“Sebelum meninggal dunia, ayah sedang menjalani rawatan untuk persediaan sebelum prosedur mengecilkan perut yang semakin membesar hingga mengganggu fungsi jantung di Hospital Putrajaya,” katanya ketika dihubungi di rumahnya di Kampung Nelayan Pelabuhan Klang hari ini.

April lalu Utusan Malaysia melaporkan seorang bekas pekerja pengendali peralatan kontena di Pelabuhan Utara menderita penyakit misteri sejak tujuh tahun lalu yang menyebabkan perutnya dipenuhi air dan membesar sehingga ukur lilit melebihi 200 cm.

Ahmad Shahrul ketika ditemui sebelum ini dekat rumahnya di Kampung Nelayan, Pelabuhan Klang memberitahu, penyakit tersebut menyebabkan dia terlantar dan tidak mampu berdiri seperti biasa.

Allahyarham yang dijaga isterinya, Rahayu Abdul Malik,52, mendapat pencen ilat sebanyak RM1,400 dan bantuan perubatan daripada Lembaga Zakat Selangor (LZS) sebanyak RM400.

Dalam pada itu, Siti Nur Syafinaz memaklumkan, kesihatan arwah ayahnya semakin merosot kebelakangan ini hingga ke saat arwah menghembuskan nafas terakhir semalam.

“Sebelum meninggal dunia dia telah meninggalkan amanat kepada ibu saya. Namun dua tiga hari ini dia sudah tidak bercakap dan hanya mengalirkan air mata bila kami berkomunikasi.

“Semasa boleh bercakap, ayah sudah memaafkan dosa semua orang,” ujarnya.

Arwah meninggalkan tiga anak, Mohd.Hazrin Shah, 31,Siti Nur Syafinaz,30, dan Mohd. Aminuddin Shah, 29. –UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya