Agrobank bantu Advance Sincere berkembang - Utusan Malaysia

Agrobank bantu Advance Sincere berkembang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: ‘Bukan mudah untuk berjaya.’ Demikian kata-kata yang diambil oleh Pengarah Eksekutif Advance Sincere, Simon Ng yang pada mulanya sekadar cuba-cuba menerokai industri makanan halal, namun akhirnya usaha itu membuahkan hasil sehingga kini.

Sebagai syarikat yang mengimport dan memasarkan makanan ke hotel dan restoran seluruh negara, Simon Ng memberitahu, di atas dasar minat dan melihat industri makanan mempunyai peluang cerah pada masa depan, beliau mengambil langkah membuka syarikat Advance Sincere sejak 2017.

Beliau mengakui tidak mempunyai latar belakang perniagaan apabila hanya mempunyai kelulusan jurusan Perakaunan, tetapi berbekalkan semangat untuk mencuba peluang tersebut akhirnya mengambil langkah untuk memulakan perniagaan itu pada berskala kecil sebagai langkah permulaan.

“Saya bermula pada Julai 2017, Advance Sincere ini merupakan syarikat pengimport 100 peratus halal kepada para pelanggan kami yang terdiri daripada hotel dan restoran serta kedai makan,” katanya ketika ditemui di ibu pejabat syarikat itu yang terletak di Taman Perindustrian Jaya d sini baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Simon Ng berkata, antara produk makanan diimport adalah bahan asas makanan seperti pes tomato, minyak zaiton, sosej, keju, makanan lauk sejuk beku dan spaghetti.
“Semua diimport ke Malaysia dari pelbagai negara seperti Turkiye dan Sepanyol,” katanya.

Katanya, usaha lebih enam tahun itu akhirnya membuahkan hasil apabila produk itu berjaya dipasarkan di seluruh negara termasuk hotel-hotel terkemuka yang menjadi sebahagian pelanggannya.

“Kalau sosej sarapan pagi yang anda rasa makan di hotel, itulah antara produk yang diimport oleh Advance Sincere,” katanya.

Namun begitu, Simon Ng berkata, kadang-kala perniagaan diusahakan beliau itu mengalami jatuh dan naik termasuk aliran wang tunai meskipun mempunyai permintaan tinggi dalam kalangan pelanggan apatah lagi industri makanan semakin mendapat perhatian masyarakat.

Ujarnya, situasi bertambah getir apabila berhadapan pandemik COVID-19 pada awal 2020 yang menyaksikan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga memaksa sekatan pergerakan rakyat dan penutupan perniagaan.

“Walaupun boleh dikatakan industri makanan boleh dibuka, tetapi banyak pelanggan kami terdiri dalam kalangan hotel yang turut ditutup sepanjang tempoh itu.

“Kita pun terpaksa terima situasi ini, hakikatnya bukan kami sahaja tetapi perniagaan lain termasuk hotel yang berhadapan masalah bayaran kepada penjual,” luah beliau.
Menceritakan lebih lanjut, situasi tersebut menyebabkan perniagaan diusahakan beliau juga terjejas apabila mengalami penurunan pendapatan sehingga 90 peratus apabila perlu mencari idea baharu untuk mempertahankan syarikat yang diusahakan sejak 2017 itu.

Lantaran itu, Simon Ng berkata, beliau cuba memasarkan produk perniagaan melalui dalam talian dan pasar-pasar raya supaya dapat dipasarkan secara lebih meluas berbanding terhad kepada para pelanggan sedia ada.

“Hanya berbekalkan model baharu ini, kami dapat bertahan sehingga kini. Namun saya boleh anggap pandemik COVID-19 sebagai ujian membawa 1,001 hikmat apabila memberi pengajaran dan idea baharu dalam industri makanan ini,” ujarnya.

Meskipun mengalami kemerosotan perniagaan, Simon Ng berkata, beliau tidak mengurangkan pekerja dengan mengekalkan tenaga kerja sedia ada kerana menyifatkan mereka sebahagian daripada nadi perniagaan Advance Sincere.

Ketika ditanya situasi semasa, beliau bersyukur kerana perniagaan itu sudah kembali pulih meskipun kini berhadapan ketidaktentuan situasi global akibat perang Ukraine-Rusia dan inflasi, namun menyifatkan cabang industri makanan sentiasa mendapat permintaan tinggi rakyat.

Justeru, kata Simon Ng, beliau ingin membuka sebuah kilang berskala kecil pada masa akan datang sejajar usaha pelan jangka panjang syarikat itu di samping mahu memenuhi permintaan tinggi dalam kalangan para pelanggan.

“Advance Sincere mempunyai sijil halal, jadi peluang sedia ada ini perlu digunakan sebaik mungkin untuk mengembangkan sayap perniagaan agar produk-produk kami dapat dipasarkan secara meluas di seluruh negara,” katanya.

Beliau bersyukur kerana pembiayaan disediakan Agrobank telah banyak membantu perniagaan untuk dikembangkan dan berkekalan sehingga kini.

“Dalam sesebuah perniagaan, amat penting aliran tunai. Namun Agrobank telah menyediakan kemudahan yang terbaik kepada rakyat. Kami merupakan antara salah satu pelanggan bank ini,” katanya.

Ujarnya, lebih-lebih ketika PKP apabila syarikat itu terkesan dengan masalah aliran tunai sekali gus amat memerlukan satu langkah drastik untuk mengurangkan beban yang terpaksa ditanggung.

“Nasib baik kerajaan mengumumkan moratorium pinjaman selama enam bulan termasuk kepada para peniaga yang dapat akhirnya memberikan aliran tunai untuk mengekalkan perniagaan sehingga kini,” ujarnya.

Sebelum ini, kerajaan mengumumkan Pakej Pemulih yang melibatkan pembiayaan khas bagi pemulihan perniagaan atau projek serta penyusunan semula bayaran pembiayaan sedia ada pelanggan.

Agrobank sebagai sebuah institusi kewangan pembangunan yang menyediakan perkhidmatan kewangan dan perbankan berorientasikan sektor pertanian dan industri makanan, telah mengambil langkah proaktif dan menyeluruh bagi menyediakan kemudahan kewangan kepada komuniti usahawan mikro.

Ia terutamanya yang terlibat dalam pelbagai sektor ekonomi terutamanya sektor pertanian berasaskan makanan bagi mengharungi cabaran ekonomi pasca COVID-19.

Mengulas mengenai peranan yang dimainkan oleh Agrobank dalam merancakkan sektor agromakanan negara, Presiden/ Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin berkata, “Agrobank bertanggungjawab untuk mengukuhkan sektor pertanian dan agromakanan negara menerusi produk dan solusi kewangan patuh syariah yang menyeluruh untuk komuniti pertanian merangkumi aktiviti huluan seperti bekalan input pengeluaran pertanian dan aktiviti hiliran seperti pemprosessan, pemasaran dan jualan produk pertanian.”

Beliau turut menambah, “Selain menyediakan rangkaian perkhidmatan yang komprehensif untuk menyokong rantaian nilai penuh aktiviti pertanian, kami juga mempunyai peranan besar untuk dimainkan dari segi meningkatkan kesejahteraan komuniti pertanian melalui rangkuman kewangan dan aktiviti pembangunan keusahawanan untuk menjamin bekalan makanan negara.”

“Usaha jangka pendek kami bertumpu untuk memainkan peranan kami untuk menyokong agenda jaminan bekalan makanan negara secara terus dengan menyediakan sokongan pembiayaan dalam sub-sektor pertanian strategik seperti sektor penternakan, perusahaan ayam dan juga sayur-sayuran. Agrobank telah sentiasa dan akan terus menyokong objektif strategik yang telah digubal dibawah dasar-dasar pembangunan pertanian negara di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Makanan, dalam memacu hala tuju strategik pembangunan agromakanan dan komoditi pertanian bagi tempoh 10 tahun akan datang,” tambah Tengku Ahmad Badli Shah. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN