PUTRAJAYA: Pengecualian bayaran sewa selama enam bulan kepada pengusaha kafeteria adalah antara tujuh inisiatif segera yang diambil oleh Jawatankuasa Tindakan Sara Hidup Siswa Keluarga Malaysia bagi memantapkan tadbir urus serta kecekapan penyaluran bantuan kebajikan kepada siswa di institusi pendidikan tinggi (IPT).
Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Noraini Ahmad berkata, pengecualian bayaran sewa di kampus IPT awam itu adalah supaya tanggungan kos itu dapat diserap bagi penurunan harga yang dijual kepada pelajar.
“Kedua, pelaksanaan Inisiatif Food Basket Siswa Keluarga Malaysia Menu Keluarga Malaysia bernilai RM3.50 di bawah inisiatif Food Basket Siswa hendaklah bersesuaian dan mengambil kira kepelbagaian komposisi kaum di IPT.
“Kami juga akan memperkasakan Inisiatif Food Bank Siswa di mana enam Hab Food Bank Siswa akan ditubuhkan mengikut zon, iaitu Zon Utara, Zon Tengah (UKM), Zon Timur, Zon Selatan, Zon Sabah dan Zon Sarawak,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Katanya, langkah lain termasuk meneliti semula kadar upah Program Job on Campus (JoC) di peringkat IPT agar ia selaras dengan Perintah Gaji Minimum 2022 oleh pihak kerajaan.
Noraini berkata, jawatankuasa juga akan memperkenalkan Pembangunan Pelan Tindakan Sara Hidup Siswa yang akan mengambil kira aspek keperluan pengajaran dan pembelajaran (seperti pelan data dan peranti), penginapan, pengangkutan, dan yuran.
Menurutnya, langkah lain juga termasuk memberikan rebat atau cukai pengecualian cukai KPT sekali gus menggalakkan kolaborasi bersama pihak korporat, industri dan juga orang perseorangan.
“Kami juga akan memastikan jadual pergerakan pengangkutan yang lebih kerap di dalam dan luar kampus oleh pihak IPT ditambah,” katanya.
Katanya, beliau berharap agar langkah dan inisiatif ini mendapat sokongan serta kerjasama penuh daripada warga IPT, pelajar dan agensi luar bagi memastikan kejayaan pelaksanaannya. – UTUSAN










